
KDN menjelaskan buku novel grafik karya penulis tempatan yang lahir di Singapura dikenali sebagai Cheeming Boey, 45, itu turut dikhuatiri menimbulkan kebimbangan dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
“Hasil penerbitan itu adalah dilarang secara mutlak di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang turut menjelaskan pengharamannya dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 berkuat kuasa 25 Sept lalu.
Akta itu menjelaskan percetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan itu adalah dilarang secara mutlak.
KDN berkata pihak yang melanggar perintah tersebut boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“KDN sekali lagi ingin menyatakan komitmen dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam melalui tindakan penyeliaan dan kawalan terhadap penerbitan bagi membanteras penyebaran elemen, fahaman, dan gerakan bercanggah sosiobudaya tempatan dari semasa ke semasa,” katanya.
Buku yang ditulis pada 2014 oleh Boey, yang kini menetap di Amerika Syarikat menceritakan mengenai kisah zaman kanak-kanaknya.
Warga Indonesia, yang menganggotai NGO Corong Rakyat, mengadakan bantahan di luar Kedutaan Malaysia di Jakarta kerana mendakwa buku tersebut menceritakan mengenai seorang pembantu rumah warga Indonesia yang bekerja di Malaysia dan dikritik secara tidak adil.
Boey yang telah menghasilkan dua buku lain berkata, niatnya bukan untuk menyinggung perasaan sesiapa sebaliknya memuji sifat bekas pembantunya itu.
“Saya percaya ini kes salah tafsiran, selain diambil luar daripada konteksnya,” katanya pada minggu lalu menjelaskan kekeliruan dibangkitkan oleh pihak terbabit.