5 bebas tuduhan bunuh T Nhaveen

5 bebas tuduhan bunuh T Nhaveen

Nhaveen dilaporkan telah dipukul dan mati beberapa hari selepas disahkan mati otak.

T Nhaveen dipukul dan meninggal dunia beberapa hari selepas disahkan mati otak pada Jun 2017. (Gambar fail)
GEORGE TOWN:
Mahkamah Tinggi di sini mendapati lima individu, termasuk dua juvana, tidak bersalah atas pembunuhan T Nhaveen pada 2017.

Keputusan itu dibuat Hakim Radzi Hamid, yang melepas dan membebaskan kelima-lima mereka.

S Gopinaath, 30, J Ragesuthan, 22, S Gokulan, 22, dan dua lagi yang masih remaja ketika kesalahan itu berlaku – telah dituduh membunuh Nhaveen, 18, di sebuah taman di Jalan Bunga Raya antara jam 11 malam dan tengah malam pada 9 Jun 2017.

Mereka juga didakwa melakukan serangan terhadap rakan Nahveen, T Previin yang ketika itu berusia 19, berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Bukit Gelugor pada malam yang sama.

Nhaveen dilaporkan telah dipukul dan mati beberapa hari selepas disahkan mati otak.

Perbicaraan bermula pada 3 Mei 2021, kira-kira empat tahun selepas kejadian itu, berikutan banyak penangguhan.

Ketika menyampaikan keputusannya, Radzi berkata: “Terdapat kelemahan besar dalam kes pendakwaan terhadap tertuduh, dan dengan itu kegagalan dalam membuktikan kes prima facie.”

Beliau berkata, isu teras berkisar tentang kekurangan kredibiliti dalam keterangan saksi utama, Previin, walaupun dia menjadi satu-satunya saksi yang melihat peristiwa yang membawa kepada kematian Nhaveen dan mengalami serangan fizikal sendiri.

Walaupun dengan keterangan Previin, beliau berkata, ia tidak cukup untuk menentukan sama ada sekumpulan 20 orang telah menyerangnya dan Nhaveen di Padang Openg, sebuah taman awam di Bukit Gelugor.

Beliau juga berkata tiada kepastian bahawa satu lagi insiden pukul telah berlaku di Minden Heights selepas itu.

“Mangsa tidak boleh berada di dua tempat berasingan. Jadi keseluruhan pertuduhan ini kelihatan kabur. Terdapat keraguan serius terhadap semua pertuduhan itu,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azhar Hamzah dan Muna Jaafar. Peguam S Yagoo dan Maanveer Singh Dhillon pula mewakili tertuduh, manakala Sukhindarpal Singh pemerhati untuk Majlis Peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.