
Walaupun PayNet menegaskan bahawa kadar diskaun pedagang (MDR) bukan sesuatu yang baharu dan tidak akan menjejaskan harga barangan dan perkhidmatan, ia mencetuskan perbahasan mengenai implikasinya kepada pengguna.
FMT melihat PayNet, pemilikannya dan ekosistem DuitNow dengan lebih dekat.
Apa itu PayNet dan siapa pemiliknya?
Ditubuhkan pada 2017, PayNet ialah organisasi yang bertanggungjawab menyelia sistem pembayaran negara.
Portfolio perkhidmatan semasanya termasuk JomPAY (skim pembayaran bil utiliti), FPX (pemindahan terus melalui bank), eSPICK (sistem penjelasan cek), MyDebit dan lain-lain.
Bank Negara Malaysia (BNM) ialah pemegang saham terbesar PayNet, manakala pemegang saham bersama terdiri daripada 11 institusi kewangan termasuk Maybank, Public Bank, CIMB.
Pemegang saham PayNet tidak menerima dividen. Sebaliknya, lebihan keuntungan dilaburkan semula secara sistematik untuk memperkukuh infrastruktur pasaran kewangan negara dan memastikan kebolehcapaian dan daya saing merentas ekosistem pembayaran.
Peranan PayNet dalam DuitNow
Pada 2019, PayNet memperkenalkan perkhidmatan DuitNow, yang membolehkan pengguna membuat pembayaran dengan mengimbas kod QR yang dipaparkan oleh peniaga, perniagaan atau individu.
Penggunaan kod QR itu diterima secara meluas oleh pelbagai peniaga, baik restoran mahupun penjaja tepi jalan.
Direka bentuk untuk saling beroperasi, QR DuitNow boleh digunakan merentas bank dan penyedia e-dompet yang berbeza, seperti e-dompet Touch n’ Go, GrabPay dan Boost.
Kedai dan individu hanya perlu memaparkan kod QR DuitNow untuk menerima pembayaran.
Perkembangan dan kebimbangan terkini
Pada Khamis, PayNet mengesahkan bahawa fi perkhidmatan dikenakan terhadap peniaga bagi pembayaran yang dibuat menggunakan kad debit dan kredit, tetapi diketepikan bagi pembayaran menggunakan kod QR. Bagaimanapun, fi 50 sen (RM0.50) dikenakan atas pindahan melebihi RM5,000 menggunakan kod QR peribadi.
Kenyataan itu dibuat selepas tangkapan skrin yang dikongsi secara meluas menunjukkan kadar pedagang sebanyak 0.25% daripada nilai transaksi dikenakan apabila pembayaran dibuat daripada akaun bank, dan 0.5% untuk pembayaran menggunakan kad kredit, dengan minimum satu sen (RM0.01) bagi setiap transaksi.
Setakat ini, Public Bank dan Maybank memaklumkan mereka akan menangguhkan fi tersebut “sehingga diberitahu kelak”, manakala CIMB akan mengetepikan fi sehingga 31 Dis.
Beberapa Ahli Parlimen menggesa agar pengetepian fi itu dikekalkan, manakala peniaga kecil bimbang tentang kesannya ke atas pendapatan mereka. Kumpulan perniagaan turut menggesa bank untuk sama ada berkongsi atau menyerap kos tersebut.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, fi itu tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah.