Jakarta nafi kebakaran hutan punca jerebu di Malaysia

Jakarta nafi kebakaran hutan punca jerebu di Malaysia

Menteri Alam Sekitar Indonesia Siti Nurbaya Bakar berkata pihaknya tidak mengesan sebarang jerebu rentas sempadan ke negara jiran.

Jumaat lalu, Putrajaya memberi amaran tahap pencemaran tinggi di pantai barat Semenanjung Malaysia dan Sarawak akibat kebakaran hutan di Indonesia. (Gambar Bernama)
JAKARTA:
Menteri alam sekitar Indonesia menafikan dakwaan bahawa kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan yang mengakibatkan jerebu di beberapa bandar negara itu, turut menjejaskan kualiti udara di Malaysia.

Malaysia pada Jumaat lalu mengeluarkan amaran bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak akibat kebakaran hutan di Indonesia, menurut kenyataan jabatan alam sekitar.

Susulan itu Menteri Alam Sekitar Indonesia Siti Nurbaya Bakar berkata Jakarta tidak mengesan sebarang jerebu rentas sempadan dari situ ke negara jiran.

“Kami terus memantau sebarang perkembangan, dan tiada jerebu rentas sempadan ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa ini, Indonesia memfokuskan terhadap meredakan kebakaran hutan di beberapa wilayah di Sumatera dan Borneo menggunakan bom air dari helikopter, katanya.

Jurucakap kementerian luar Indonesia berkata, Malaysia belum membuat aduan diplomatik berkait jerebu.

Musim kemarau Indonesia tahun ini adalah yang terburuk sejak 2019 akibat kesan El Nino. Pihak berkuasa menyifatkan lebih sukar memadam kebakaran hutan tahun ini akibat fenomena itu.

Lebih 267,900ha hutan dibakar tahun ini, iaitu mengatasi jumlah keseluruhan sebanyak 204,894ha sepanjang 2022, menurut data kementerian alam sekitar Indonesia.

Ini mengakibatkan jerebu di beberapa bandar di Sumatera dan Borneo. Beberapa kawasan di Kalimantan melaporkan jarak penglihatan kurang 10m, lapor agensi berita Antara.

Media tempatan melaporkan pihak berkuasa mengarahkan pengajaran dan pembelajaran di rumah bagi pelajar di Palembang dan Jambi, Sumatera, akibat tahap pencemaran yang begitu tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.