Harga beras harus cermin situasi pasaran, saran pakar ekonomi pertanian

Harga beras harus cermin situasi pasaran, saran pakar ekonomi pertanian

Harga yang mencerminkan situasi pasaran dan kos pengeluaran berfaedah untuk kerajaan, petani, dan pengguna, kata pakar.

Pakar ekonomi pertanian berpandangan ‘era harga beras murah’ mungkin sudah berakhir kerana masalah perubahan iklim dan kos input yang kian meningkat.
PETALING JAYA:
Pakar ekonomi pertanian menyarankan harga padi dan beras tempatan ditingkatkan untuk mencerminkan situasi pasaran dan kos pengeluaran padi termasuk kos ke atas alam sekitar, kerana faedahnya kepada kerajaan, petani, dan pengguna.

Fatimah Mohamed Arshad, felo perunding Institut Pertanian Tropika dan Keterjaminan Makanan di Universiti Putra Malaysia, berkata langkah ini akan mengurangkan beban fiskal kerajaan dan pada masa sama meningkatkan keuntungan petani.

Bagi pengguna pula, ia akan menggalakkan penjimatan beras serta mengurangkan pembaziran, selain mendorong mereka mempelbagaikan makanan dan mengurangkan sisa yang dibuang.

“Saya tak kata kita ‘liberalize’ tapi kita boleh ada satu harga yang mencerminkan situasi pasaran. Kita turunkan harga apabila situasi reda,” katanya kepada FMT.

Fatimah menjelaskan harga padi dan beras tempatan yang tidak berubah selama bertahun-tahun menyebabkan petani dan pengilang menerima keuntungan yang malar atau statik.

“Untuk meningkatkan pendapatan pengilang dan peniaga lazimnya mencampurkan beras hancur dengan beras yang bermutu tinggi seperti SST5% untuk mendapatkan keuntungan lebih,” katanya.

Beliau mengambil contoh harga padi yang ditetapkan pada paras RM1,200 sejak 2014 dan harga runcit beras tempatan pada RM2.60 sekilo sejak 2019.

Pada masa sama, dasar kawalan harga ke atas beras tempatan tetapi membebaskan harga import menggalakkan peniaga mencampurkan beras tempatan yang murah dengan beras import untuk mengaut keuntungan.

“Polisi kawalan harga ke atas beras tempatan tetapi membebaskan harga import menggalakkan peniaga mengambil keuntungan melalui amalan campuran beras apabila harga import meningkat,” katanya.

Fatimah berpandangan ‘era harga beras murah’ mungkin sudah berakhir kerana masalah perubahan iklim, kos input yang kian meningkat, dan kos pengeluaran padi ke atas alam sekitar.

Beliau berkata hakikatnya menghasilkan padi bukan kegiatan yang murah, lantaran kos yang meningkat termasuk baja, racun, dan upah.

“Selama ini kos pengeluaran padi ini ditanggung oleh kerajaan mencecah berbilion-bilion melalui subsidi input, subsidi output, prasarana dan sebagainya,” katanya.

“Sepatutnya pengguna harus tahu apakah harga beras sebenar berdasarkan situasi pasaran.”

Sementara itu, beliau menyambut baik cadangan menjual beras import bersubsidi kepada rakyat namun ia harus menerusi peniaga kecil-kecilan, bukannya menjadikan pejabat kerajaan sebagai tempat menjual.

Beliau berkata perniagaan beras di pejabat kerajaan bukan sahaja mengganggu fungsi teras, ia juga tidak dapat mencakupi pengguna di pedalaman dan luar bandar.

“Daripada menggunakan pejabat kerajaan lebih baik beri perniagaan kepada peniaga kecil-kecilan untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Fatimah bagaimanapun berkata pasaran beras dunia ketika ini menunjukkan “kerapuhan” lantaran lebihan untuk eksport “yang masih tipis”, iaitu kira-kira 10%. berbanding dengan gandum 22%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.