Buat program menarik tingkat enrolmen, sekolah kurang murid diberitahu

Buat program menarik tingkat enrolmen, sekolah kurang murid diberitahu

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata ia termasuk mengadakan kelas prasekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying ketika lawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bulat, hari ini. (Gambar Bernama)
SARIKEI:
Sekolah kurang murid (SKM) perlu mengadakan pelbagai rancangan atau program yang menarik agar mampu meningkatkan lagi enrolmen murid, kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.

Beliau berkata ia termasuk mengadakan kelas prasekolah bagi memastikan ramai murid memasuki tahun satu di sekolah berkenaan.

“Masalah kurang murid boleh ditangani dengan mengadakan prasekolah. Dengan adanya ramai murid di prasekolah boleh menjamin enrolmen lebih ramai murid ke tahun satu.

“Kena adakan banyak rancangan atau program di sekolah untuk menarik ibu bapa atau penjaga menghantar anak-anak mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bulat.

Beliau berharap semua sekolah dan guru besar mengambil tanggungjawab berkenaan dengan serius dan menyediakan pakej tertentu yang boleh menarik kemasukan murid ke sekolah mereka.

Lim berkata bawah Akta Pendidikan 1996, Kementerian Pendidikan (KPM) mengalu-alukan sekolah rendah untuk mengadakan prasekolah bagi kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun.

“Selagi sekolah itu boleh menampung kelas mereka boleh memulakan kelas prasekolah. Jadi selagi ada murid-murid yang mendaftar, tugas KPM adalah untuk menghantar seorang guru prasekolah atau seorang pembantu ke sekolah-sekolah yang akan memulakan prasekolah,” katanya.

Sekiranya masalah itu tidak dapat diatasi, sekolah-sekolah tersebut perlu mempertimbangkan untuk bergabung dengan sekolah-sekolah yang berhampiran ataupun berpindah ke kawasan lain yang mempunyai ramai penduduk.

Lim sebelum itu turut melawat SJK (C) Tong Hua dan SMK Tong Hua di Bintangor.

Beliau yang akan menamatkan lawatan selama seminggu ke Sarawak esok berkata, tujuan lawatan itu adalah untuk memantau kemajuan kerja-kerja penyelenggaraan di sekolah-sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.