
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu merangkap presiden MCA berkata, sistem kod QR DuitNow “hanya paparan atau pelekat di dinding atau kaunter bayaran” dan tidak memerlukan sebarang penyelenggaraan seperti terminal atas kaunter untuk menerima pembayaran kad kredit.

“Maka, kos operasi ditanggung oleh bank juga amat minimum,” katanya dalam catatan Facebook.
DuitNow ialah sistem pemindahan dan pembayaran kewangan sejagat, di mana seseorang boleh menghantar wang kepada orang lain hanya menggunakan nombor telefon atau nombor kad pengenalan mereka.
Sistem runcit itu membolehkan orang ramai membayar pembelian daripada akaun bank mereka atau melalui sistem e-dompet seperti Touch ‘n Go, Grab Pay atau Boost dengan mengimbas kod QR DuitNow dipaparkan peniaga.
Wee berkata, memandangkan bank mencatatkan peningkatan hasil setiap tahun, mereka tidak perlu bergantung kepada kutipan yuran peniaga bagi menerima pembayaran elektronik melalui sistem kod QR DuitNow.
Bekas menteri persekutuan itu berkata, Bank Negara (BNM) juga kurang keperluan mencetak wang kertas dan syiling baharu dengan pelaksanaan pembayaran tanpa tunai melalui DuitNow dan sistem e-dompet lain.
“Ini pasti membawa penjimatan signifikan kepada BNM.”
BNM ialah pemegang saham utama Payments Network Malaysia (PayNet), yang menyediakan sistem pembayaran DuitNow. Sebelas bank komersial juga pemegang saham PayNet.
Baru-baru ini, PayNet mengesahkan yuran perkhidmatan akan dikenakan ke atas peniaga yang menerima pembayaran melalui sistem kod QR DuitNow mulai 1 Nov ini. Yuran itu, yang dikenali kadar diskaun pedagang, diketepikan sejak DuitNow diperkenalkan pada 2019.
Khamis lalu, Wee menyeru PayNet meneruskan pengecualian itu kerana boleh memanfaatkan peniaga kecil serta bank.