Interpol minta maklumat lanjut kes menantu Muhyiddin

Interpol minta maklumat lanjut kes menantu Muhyiddin

Polis berkata pihaknya menunggu SPRM memberi maklumat tambahan seperti yang diminta Interpol untuk permohonan Notis Merah.

Adlan Berhan dan Mansoor Saat menafikan mereka melarikan diri daripada undang-undang. (Gambar SPRM)
KUALA LUMPUR:
Interpol meminta lebih maklumat kepada Bukit Aman berhubung permohonan Notis Merah terhadap Adlan Berhan dan peguamnya Mansoor Saat.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya kini menunggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan maklumat lanjut berhubung kes terhadap menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin itu.

Ayob tidak mendedahkan butiran maklumat yang diminta Interpol itu tetapi berkata ia membabitkan “beberapa aspek teknikal.”

Adlan dan Mansoor dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan berhubung projek membabitkan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing di satu kementerian.

SPRM sebelum ini memberitahu kedua-dua mereka sudah keluar negara pada Mei lalu.

Bagaimanapun, Adlan dan Mansoor mengeluarkan kenyataan menerusi peguam masing-masing bahawa mereka bukan melarikan diri daripada undang-undang.

Februari lalu, FMT memetik sumber SPRM berkata, agensi itu sedang menyiasat pemberian kontrak lumayan kepada menantu seorang bekas perdana menteri.

Sumber itu berkata, siasatan SPRM tertumpu kepada kemungkinan penyalahgunaan kuasa berkaitan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Adlan dinamakan dalam laporan media pada 2020 dan dikaitkan dengan seorang pendahulu projek itu – penyedia penyelesaian keselamatan S5 Holdings Inc. Tetapi, Pengarah Urusan Kumpulan S5, Syed Hafiz Jamalullail menafikan pembabitan Adlan dalam firma itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.