PAS ada ‘ingatan terpilih’, kata bekas Ahli Parlimen berkait isu tafsir ayat al-Quran

PAS ada ‘ingatan terpilih’, kata bekas Ahli Parlimen berkait isu tafsir ayat al-Quran

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata permohonan maaf dibuat Ahli Parlimen DAP Howard Lee menunjukkan PAS 'cemerlang dalam pendakwaan terpilih'.

Pemimpin Amanah Raja Kamarul Bahrin Shah berkata kecaman PAS terhadap Ahli Parlimen DAP Howard Lee kerana memetik ayat al-Quran adalah semata-mata untuk mendapat sokongan politik.
PETALING JAYA:
Seorang bekas Ahli Parlimen PAS berkata permohonan maaf yang dibuat oleh Ahli Parlimen DAP Howard Lee kerana mentafsir ayat al-Quran menunjukkan parti Islam itu ada masalah “ingatan terpilih”.

Dalam kenyataan maaf itu, Lee turut berkata sayap penyokong bukan Islam PAS dan rakan gabungan parti itu Gerakan sebelum ini pernah memetik ayat dari al-Quran.

Raja Kamarul Bahrin Shah berkata kenyataan Lee itu menunjukkan PAS “cemerlang dalam pendakwaan terpilih” daripada berdakwah ke arah Islam.

“PAS akan terus terlupa bahawa pemimpin tertingginya bukan hanya pernah membenarkan penyokong bukan Islam memetik ayat al-Quran malah menyambut baik tindakan itu,” kata ketua Amanah Terengganu itu kepada FMT. Amanah adalah parti serpihan PAS.

Raja Bahrin berkata ada beberapa video ceramah PAS yang membuktikan dakwaan beliau itu.

“Saya rasa, apa sahaja yang memberi kelebihan kepada PAS semuanya tiada masalah, tetapi apabila bukan penyokong PAS yang lakukan semuanya menjadi salah. Kenapa ‘double standard’,” katanya.

Raja Bahrin berkata PAS sudah menyimpang jauh dari sebuah parti yang mahu berdakwah ke arah Islam kepada “sebuah parti gila kuasa yang sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa”.

Beliau juga menyelar PAS kerana enggan mengambil satu pendekatan inklusif apabila berhadapan dengan orang bukan Islam.

Sebaliknya, parti itu mengecam orang bukan Islam terutama bukan penyokong PAS, yang cuba memahami al-Quran, seolah-olah kitab suci itu “eksklusif untuk mereka sahaja”.

Raja Bahrin merujuk kecaman Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Sanusi Nor terhadap Lee seperti yang dilapor Malaysiakini semalam, sebagai contoh utama sikap “double standard” parti itu.

Kecaman seperti itu katanya, akan menakutkan orang bukan Islam terhadap ajaran agama itu.

Lee yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur itu dikecam pemimpin PAS dan turut disiasat polis kerana menggunakan tafsiran ayat al-Quran dalam satu video kepada penyokongnya.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki pula mempertahankan Lee dan berkata tindakan sama pernah dilakukan pemimpin DAP ketika parti itu bersama PAS, tetapi ia disokong oleh parti Islam tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.