Kampung Iboi di Baling dilanda banjir kilat lagi

Kampung Iboi di Baling dilanda banjir kilat lagi

Hujan lebat menyebabkan air sungai melimpah dan banjir naik dengan cepat hingga menjejaskan rumah penduduk.

Seramai 22 anggota Angkatan Pertahanan Awam Kedah dikerahkan untuk menyelamat dan memindahkan penduduk Kampung Iboi yang terjejas akibat banjir kilat. (Gambar APM Kedah)
PETALING JAYA:
Kampung Iboi di Baling, Kedah dilanda banjir kilat lagi malam tadi menyebabkan beberapa penduduk kampung yang terperangkap diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Jurucakap APM Kedah Faizol Ab Aziz dalam satu kenyataan berkata 22 anggota dihantar untuk menyelamatkan dan memindahkan penduduk ke dua pusat pemindahan sementara (PPS).

“Air naik dengan cepat dan menyebabkan beberapa rumah terjejas,” katanya yang menambah ia berpunca daripada hujan lebat di beberapa kawasan di Baling.

Jumlah mangsa yang dipindahkan masih belum diperolehi.

Kampung Iboi beberapa kali dilanda banjir, termasuk banjir buruk di Baling pada 4 Julai lalu yang menyebabkan empat mangsa terkorban dan kerugian dianggarkan mencecah RM28 juta.

Terbaru pada minggu lalu, seluruh kawasan Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang banjir selepas hujan lebat. Seramai 112 mangsa daripada 33 keluarga terpaksa berpindah ke dua PPS.

Pada malam tadi, jumlah mangsa banjir dipindahkan di Kedah meningkat mendadak dari 81 kepada 701 sehingga jam 8 malam, menurut Bernama.

Sekretariat pengurusan bencana Kedah berkata 701 mangsa dari 201 keluarga yang dipindahkan itu adalah dari daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.