
JDT membuktikan keampuhan mereka meskipun masih berbaki empat perlawanan lagi, dengan mengumpul 64 mata selepas menewaskan skuad The Cops itu.
Kejayaan itu juga menyaksikan skuad bimbingan Esteban Solari mencipta sejarah dalam bola sepak negara, apabila muncul satu-satunya kelab bola sepak menjadi juara untuk 10 musim berturut-turut, selepas kali pertama memenanginya pada 2014.
Malah, JDT turut melakar kejayaan “treble” selepas sebelum ini menjulang trofi Piala Sumbangsih dan Piala FA.
Pada perlawanan malam ini, pasukan Harimau Selatan itu mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi pemain sensasi Brazil Bergson Da Silva dan pemain tengah Juan Muniz, masing-masing pada minit ke-37 dan ke-40.
Babak kedua menyaksikan kesilapan pemain pertahanan PDRM FC Izaaq Izhan Yuswardi, menjatuhkan Arif Aiman Mohd Hanapi dalam kotak penalti yang membawa padah, apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Fitri Maskon.
Arif Aiman dengan mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-54, sekali gus melakar jaringan ketiga buat JDT.
Anak buah Esteban Solari bagaimanapun, tidak mengambil tempoh lama untuk menambah jaringan menerusi rembatan deras penyerang dari Argentina Fernando Forestieri, tiga minit kemudian.
Jaringan keempat itu melengkapkan malam bermakna buat JDT untuk menyambut kemenangan.