
Baginda bertitah, hakikatnya perkataan yang kurang elok sama ada dalam tutur bicara mahupun ketika menulis di media sosial, kata-kata berbentuk cacian, nista dan dusta serta fitnah hanya menggugat kestabilan dan keharmonian negara.
“Marilah kita mengambil iktibar daripada kejatuhan serta keruntuhan tamadun dan kuasa besar dunia akibat budaya fitnah yang mendominasi dan membarah dalam kehidupan bangsanya,” titah baginda sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Titahnya, selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, fenomena fitnah telah membawa kepada peristiwa amat tragis dalam sejarah Islam menerusi pembunuhan khalifah ketiga Saidina Uthman Affan.
“Demikian hebat hakikat fitnah dan tipu daya yang bukan sahaja telah menumpahkan darah seorang pemimpin Islam yang agung, malahan telah turut menghancurkan keharmonian dan kestabilan sebuah negara,” titahnya.
Baginda bertitah, ajaran Islam dibawa Rasulullah SAW mencakupi pelbagai aspek kehidupan, termasuk dalam mengemudi dan memerintah sebuah negara yang penuh rencam, pelbagai puak dan agama serta spektrum kedudukan sosio-ekonomi yang berbeza-beza.
Sirah Rasulullah SAW dalam lipatan sejarah juga mencerminkan kepakaran baginda dalam mentadbir sebuah negara.
“Hikmahnya, Rasulullah SAW telah berjaya membawa manusia keluar dari kejahilan dan kelalaian sehingga berjaya membina generasi yang cemerlang.”
Baginda yakin Malaysia akan mencapai puncak kejayaan hakiki apabila syariat Islam dan nilai murni serta ketinggian akhlak yang dibawa Rasulullah SAW menjadi tatanan (aturan) tadbir urus negara.
Tambah baginda, maqasid syariah perlu dijadikan kerangka asas dalam penyampaian perkhidmatan agar kemaslahatan rakyat yang menjadi tanggungjawab kerajaan terus terpelihara.
“Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini, marilah kita bertekad dan beriltizam untuk terus menghidupkan syariat dan syiar yang dibawa Rasulullah SAW,” titah baginda.
Turut berangkat ke sambutan bertema “Perpaduan Teras Malaysia Madani” pagi ini ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sambutan turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Ismail.