DAP Sarawak gesa PKR tanding PRK Jepak demi ‘semak dan imbang’

DAP Sarawak gesa PKR tanding PRK Jepak demi ‘semak dan imbang’

DAP berkata tidak wajar membiarkan Sarawak diperintah secara mutlak oleh satu gabungan.

Pengerusi DAP Jepak, Tonny Ung berkata tidak wajar membiarkan Sarawak diperintah secara mutlak oleh GPS, walaupun atas alasan ‘kestabilan politik’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
DAP Sarawak menggesa PKR pertimbang semula keputusan tidak bertanding PRK DUN Jepak akan datang, demi meningkatkan “semak dan imbang” di Bumi Kenyalang.

Pengerusi DAP Jepak, Tonny Ung berkata tidak wajar membiarkan Sarawak diperintah secara mutlak oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS), walaupun atas alasan “kestabilan politik”.

“Ketiadaan kestabilan politik bukan suatu masalah di Sarawak. Masalah tunggak politik Sarawak adalah kekurangan semak dan imbang,” katanya dalam kenyataan, dan menambah parti itu tidak mahu timbul isu rasuah timbul kerana kekurangan semak dan imbang.

Beliau turut mengingatkan GPS menduduki 76 daripada 82 kerusi di Dewan Undangan Negeri Sarawak, sementara Pakatan Harapan masih dilihat sebagai entiti pembangkang di peringkat negeri.

Justeru segala dasar di peringkat negeri harus didebatkan dan diperhalusi oleh semua pemegang taruh, bukan oleh pemerintah sahaja.

“Tanpa semak imbang yang kuat, sesebuah kerajaan akan menjadi korup dan angkuh di dalam pentadbiran mereka,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Abun Sui Anyit mengumumkan partinya tidak bertanding pada PRK DUN Jepak, yang dijadualkan berlaku pada 4 Nov.

Ia diadakan susulan kematian penyandang, Takib Zulpilip pada 15 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.