Tipu dana Mitra lebih RM300,000, perunding mengaku tak salah

Tipu dana Mitra lebih RM300,000, perunding mengaku tak salah

P Anbalahgan, 61, juga mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan pilihan.

P Anbalahgan (tengah) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi 15 pertuduhan menipu berhubung beberapa dokumen menuntut dana Mitra. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang perunding perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 15 pertuduhan menipu berhubung beberapa dokumen bagi menuntut dana bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) lebih RM300,000 tiga tahun lalu.

P Anbalahgan, 61, didakwa menipu Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan Latihan Mitra, R Kavithah dengan memperdayakannya bahawa tiga penyata bank Hong Leong atas nama Bengkel Motor Steben, lapan resit rasmi atas nama bengkel itu, empat invois dikemukakan dalam laporan berkala dan laporan akhir Prestasi Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Kementerian Perpaduan Negara bertarikh 14 April 2020 adalah benar dan tulen.

Perbuatannya mendorong Kavithah memindahkan RM331,047 ke akaun Bengkel Motor Steben yang didakwa dilakukan di Mitra, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 14 April 2020 dan 3 Dis 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Anbalahgan juga mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan pilihan, iaitu menggunakan tiga penyata bank Hong Leong palsu atas nama bengkel Motor Steben, lapan resit rasmi palsu atas nama bengkel itu, empat invois palsu dikemukakan dalam laporan berkala dan laporan akhir Prestasi Pelaksanaan Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Kementerian Perpaduan Negara, di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhampiran dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Peguam M Yoges memohon jaminan rendah kerana anak guamnya tiada pendapatan tetap sejak muflis pada 2007, selain menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout.

“Anak guam memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dan dia juga memohon untuk membayar wang jaminan secara ansuran.”

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.

“Mahkamah membenarkan tertuduh membayar wang jaminan secara ansuran, iaitu RM5,000 dibayar hari ini, RM5,000 pada 4 Okt dan RM10,000 pada 11 Okt. Sebutan kes ditetapkan 3 Nov ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.