
“Pendidikan harus mengajar pelajar untuk faham bahawa setiap orang mungkin memahami peristiwa sejarah yang sama secara berbeza,” kata Helen Ting daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Ini mungkin bergantung kepada personaliti dan kedudukan mereka. Kita harus membantu pelajar belajar menekankan dan memahami perbezaan ini dalam konteks sejarah yang betul.”
Ting, yang juga felo penyelidik kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, berkata, “pendekatan berasaskan inkuiri” mungkin merangsang lebih banyak minat untuk pelajar mempelajari sejarah sebagai cara meluaskan pandangan dunia mereka.
Sebagai contoh, katanya, cara pengajaran yang lebih komprehensif tentang penjajahan Jepun adalah menerusi pengalaman hidup masyarakat berbeza.
Pada 16 Sept lepas, Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau menggesa kerajaan menyemak semula sukatan pelajaran sejarah bagi menjadikannya lebih menarik, lebih-lebih lagi apabila pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajib lulus dalam mata pelajaran itu.
Daily Express melaporkan beliau berkata, sukatan pelajaran semasa terlalu “sarat dengan fakta” dan tidak mempunyai jalan cerita menarik yang mampu memupuk semangat kekitaan negara yang lebih kukuh.
Ting juga berkata, sukatan pelajaran semasa “terlalu berpusat pada Melayu” tanpa cukup menyebut penglibatan masyarakat Cina dan India dalam pembangunan negara, apatah lagi masyarakat Orang Asli di Malaysia Barat.
“(Sukatan pelajaran) Tingkatan 3 sekarang terlalu menumpukan pada urusan antara penjajah, sultan dan golongan elit pemerintah di setiap negeri. Ini mungkin membosankan pelajar,” kata Ting.
Tambahnya, ada maklumat, seperti dakwaan bahawa British menerima sultan sebagai pemerintah berdaulat di negeri-negeri Melayu, adalah mengelirukan dan perlu dijelaskan ataupun dibuang daripada sukatan pelajaran.
“Ini ideologi penjajah yang disebarkan oleh British kepada sultan. Sebenarnya, sultan mempunyai kuasa yang sangat terhad bawah sistem pemerintahan tidak langsung British,” tambahnya.
Sementara itu, Teo Kok Seong daripada UKM menggesa agar buku teks sejarah mewakili kepelbagaian Malaysia dengan “seimbang”.
“Negara kita terdiri daripada pelbagai jenis etnik. Perwakilan sejarah mesti memupuk hubungan emosi dengan masyarakat daripada pelbagai agama, etnik, kaum dan sebagainya,” kata Teo.
Aktivis kebudayaan Eddin Khoo berkata, buku teks sejarah tidak seharusnya mengelak daripada menyentuh topik sensitif kerana dengan memahami perspektif berbeza, pelajar dapat mengembangkan pemikiran kritis mereka.
“Kita sudah matang dan masyarakat kita demokratik, jadi saya tidak rasa perlu ada sebarang kontroversi mengenai pengajaran perkara ini, seperti 13 Mei,” katanya.