
Bendahari Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) Rafirdaus Abu Bakar berkata majoriti varieti padi yang digunakan oleh pesawah ketika ini membolehkan tanaman itu dituai dua kali setahun.
“Buat padi tiga kali setahun, selesai isu beras negara,” katanya kepada FMT, dan menambah langkah itu mampu mengurangkan kebergantungan negara kepada beras import.
Negara kini mencapai 63% tahap sara diri (SSL) bagi komoditi itu, dengan sasaran 80% menjelang 2030.
“Kerajaan melalui Mardi perlu ‘all out’ berubah kepada varieti baru yang boleh percepatkan tempoh tuaian… jika sekarang usia padi 115 hari (baru boleh tuai), Mardi cubalah perkenalkan varieti baru yang umur 85 hari,” katanya.
“Di sini dapat menjimatkan kos usaha petani sekali gus mempercepatkan hasil dan langkah kerajaan agar tuaian satu tahun tiga kali berjaya dilaksanakan.”
Dalam pada itu, Rafirdaus berkata penjadualan semula padi yang ditetapkan agensi kerajaan sejak 20 tahun lalu tidak lagi boleh diterima pakai ekoran perubahan iklim dunia.
“Jadual penanaman padi sudah tersasar berikutan cuaca dunia berubah… ubah jadual tanam serta ubah sikap jabatan supaya dengar cakap petani kerana petani tahu cuaca hari ini bukan lagi jadual 20 tahun dahulu,” katanya.
Beliau berkata jadual tuaian yang ditetapkan bagi pesawah zon utara ialah Ogos bagi Fasa 1 manakala Februari bagi Fasa 2.
“Kajian terbukti hasil merosot ekoran jadual serta musim tanaman tidak lagi selari dengan cuaca hari ini,” katanya.
Mengulas harapan pesawah terhadap Belanjawan 2024 bulan depan, beliau berharap kerajaan memberikan bantuan sama rata kepada semua petani tanpa mengira lokaliti.
“Kerajaan perlu serius naikkan hasil padi negara, keluarkan bajet dan beri bantuan untuk petani ‘all out’ hasilkan padi berkualiti.
“Beri hak sama rata pada pesawah yang berada di luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (Iada) juga seperti bantuan baja, racun, dan bajak,” katanya.
“Mereka juga buat sawah untuk makanan rakyat tetapi tidak dapat hak sama rata.”
Mada dan Iada, agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berperanan mengoptimumkan hasil pertanian negara khususnya pengeluaran padi.
Mardi pada Julai dilaporkan berkata agensi kerajaan itu sudah membangunkan 53 varieti padi yang dimakan oleh rakyat dan digunakan oleh 95% pesawah ketika ini.