
Dalam penerbitan bertajuk “Bagi Penerbitan Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2021-2023”, jabatan itu berkata jangka hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan dicatatkan di Selangor, manakala Terengganu mencatat jangkaan hayat ketika lahir terendah bagi tempoh sama.
Ketua Perangkawan Uzir Mahidin, berkata kawasan jangkaan hayat melebihi paras nasional – Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Sarawak.
“Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut daerah pentadbiran bagi tahun 2023 dicatatkan di Petaling, Selangor (80.5 tahun), manakala Samarahan, Sarawak mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi tahun 2022 (79.6 tahun) dan 2021 (79.8 tahun).
“Jangka hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki adalah di Petaling, Selangor (78.9 tahun) dan perempuan di Kalabakan, Sabah (82.8 tahun),” katanya.
Uzir berkata, kawasan Kecil Lojing, Kelantan mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2023 (62.8 tahun) dan 2022 (63.2 tahun), manakala Kuala Penyu, Sabah mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2021 (64.2 tahun).
Bagi tempoh 2013 hingga 2019, jangkaan hayat ketika lahir meningkat 0.3 tahun dengan lelaki meningkat 0.2 tahun dan perempuan, 0.5 tahun.
Peningkatan jangkaan hayat ini disebabkan jumlah kematian pada 2023 telah bertambah baik, berbanding 2021 dan 2022 yang mana berlakunya lebihan kematian semasa pandemik Covid-19.
Dari sudut kaum, masyarakat Cina terus mencatatkan jangkaan hayat tertinggi ketika lahir pada 2023, 77 tahun, sebaliknya jangkaan hayat ketika lahir terendah dicatat masyarakat India, 71.4 tahun, dalam tahun sama.