PRK Pelangai: Umno ‘mungkin berpeluh’ di kampung tradisional

PRK Pelangai: Umno ‘mungkin berpeluh’ di kampung tradisional

Selain dianggap calon kitar semula, Amizar Abu Adam juga perlu bekerja keras menawan pengundi dari kampung tradisional.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara (dari kiri) calon Barisan Nasional Amizar Abu Adam, Perikatan Nasional Kasim Samat dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasli. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bentong berkata parti itu perlu bekerja keras di kampung tradisional untuk menang PRK Pelangai susulan wujud rasa tidak puas hati pemilihan Amizar Abu Adam sebagai calonnya.

Muhammad Rafidzi Salleh berkata selain dianggap calon kitar semula, penduduk dari penempatan itu juga mungkin kurang ‘menggemari’ Amizar memandangkan beliau berasal dari kawasan Felda.

Amizar yang berasal dari Felda Chemomoi tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Thomas Su Keong Siong di DUN Ketari dengan majoriti 120 undi pada PRU15, November lalu.

Rafidzi memahami parti mungkin mahu fokus kepada 7,000 undi dari Felda dengan meletakkan bendahari NGO Kami Anak Felda (KAF) itu, namun penentu kemenangan sebenarnya di perkampungan tradisional.

“Jadi BN kena kerja kuat di kawasan perkampungan tradisional, sebab atas kertas (sekarang ini mungkin) kalah di situ.

“Faktor lain penolakan calon kitar semula sedangkan Umno ada banyak pemimpin hebat untuk diangkat,” katanya kepada FMT.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menepis dakwaan wujud protes dalam kalangan ahli sayap parti itu terhadap pemilihan Amizar.

Pelangai yang terletak di Parlimen Bentong adalah kubu kuat Umno dan dimenangi Johari Harun dengan majoriti lebih 4,000 undi pada PRU15. Beliau meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, 17 Ogos lalu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Umno Bentong Mohamad Zaini Salleh berkata isu tidak puas hati pemilihan Amizar tidak akan menjadi “kudis” kepada Umno sehingga menjejaskan peluang BN menang.

“Saya harap rasa tak puas hati sementara sahaja, saya harap mereka (akar umbi) dapat terima dalam beberapa hari lagi.

“Kita sedang menyelesaikan beberapa isu berbangkit dan saya yakin isu ini tak berpanjangan serta menjadi kudis kepada Umno,” katanya yang sebelum ini turut disenarai pendek sebagai calon berpotensi BN di Pelangai.

Pada PRK 7 Okt ini, Amizar berdepan calon Perikatan Nasional Kasim Samat dan Haslihelmy DM Zulhasli sebagai calon bebas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.