Sabah wajibkan agensi kerajaan, GLC ambil anak miskin tegar bekerja

Sabah wajibkan agensi kerajaan, GLC ambil anak miskin tegar bekerja

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata arahan jawatan kosong kerani dan ke bawah diisi golongan itu bertujuan mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kerajaan negeri memperuntukan RM175 juta untuk membantu golongan miskin tegar mendapat pekerjaan dalam agensi kerajaan, GLC dan syarikat yang melabur di negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sabah mewajibkan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelabur luar di negeri itu untuk mengutamakan golongan miskin tegar dalam pengisian jawatan kosong.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata langkah mewajibkan jawatan kosong kerani dan ke bawah diberi kepada pemohon dalam senarai e-kasih adalah bertujuan mengurangkan jumlah miskin tegar di negeri itu, lapor Berita Harian.

Katanya, bagi merealisasikan inisiatif itu kerajaan negeri memperuntukkan RM175 juta sebagai sokongan kepada agensi kerajaan, GLC dan syarikat pelabur terlibat.

“Kerajaan negeri meluluskan RM300 juta khusus untuk mereka dalam senarai miskin tegar ini. Daripada RM300 juta ini, kita bina 1,300 rumah percuma Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) membabitkan peruntukan RM125 juta.

“Bakinya, RM175 juta diguna membantu anak miskin tegar mendapat pekerjaan di agensi kerajaan, GLC dan syarikat yang melabur di Sabah. Kita buat keputusan wajibkan pengambilan jawatan kerani ke bawah daripada golongan miskin tegar ini,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kuamut, di Tongod semalam.

Kata Hajiji lagi, dengan kerjasama dan sokongan semua pihak beliau yakin Sabah dapat keluar dari senarai negeri paling ramai penduduk miskin.

Sabah ketika ini disenarai sebagai negeri paling ramai golongan miskin dengan tiga daerahnya iaitu Tongod, Pitas dan Kota Marudu dikenal pasti sebagai daerah termiskin di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.