Pulau Pinang bakal larang sewa rumah kos rendah kepada warga asing

Pulau Pinang bakal larang sewa rumah kos rendah kepada warga asing

S Sundarajoo berkata satu undang-undang akan diperkenalkan bagi menghalang tindakan pemilik rumah itu.

S Sundarajoo berkata Lembaga Perumahan Pulau Pinang dan majlis tempatan sedang mengusahakan rang undang-undang itu, yang kemudiannya akan dibentangkan kepada jawatankuasa eksekutif negeri.
NIBONG TEBAL:
Kerajaan Pulau Pinang bercadang untuk memperkenalkan undang-undang yang melarang pemilik rumah kos rendah daripada menyewakan unit mereka kepada pekerja asing.

Exco perumahan negeri S Sundarajoo, berkata amalan penyewaan seperti itu bertentangan dengan matlamat kerajaan negeri untuk menyediakan rumah mampu milik dan memberi peluang golongan miskin memiliki rumah.

Beliau juga berkata ia turut menjadikan rumah pangsa kos rendah sebagai “kampung pekerja asing”, yang menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan penduduk tempatan serta bimbang dengan keselamatan, khususnya mereka yang mempunyai anak kecil.

Sundarajoo berkata Lembaga Perumahan Pulau Pinang (LPNPP) dan majlis tempatan sedang mengusahakan rang undang-undang itu, yang kemudiannya akan dibentangkan kepada jawatankuasa eksekutif negeri, di mana proses akan memakan masa hingga dua bulan.

“Ia tidak akan mengambil masa terlalu lama kerana saya berpendapat bahawa kita tidak sepatutnya membenarkan orang menyewakan (unit kos rendah), terutamanya kepada warga asing, kerana ia bertentangan dengan tujuan asal.

“Kami (kerajaan negeri) memberi subsidi kepada setiap unit dan memberi rakyat Malaysia unit ini, tetapi mereka menyewakannya kepada warga asing.

“Ia tidak adil kepada seluruh penduduk yang tinggal di sana. Kami mahu membendung amalan penyewaan ini dalam jangka masa panjang,” katanya kepada FMT selepas menghadiri majlis penyerahan surat tawaran kepada pemohon rumah mampu milik di Flat Mutiara Indah di Simpang Ampat di sini.

Beliau berkata di bawah undang-undang itu, kerajaan negeri boleh memilih untuk mengambil langkah drastik, seperti mengambil balik unit rumah daripada pemilik dan memberikannya kepada rakyat Pulau Pinang lain yang layak.

Sundarajoo juga berkata kerajaan negeri sedang berusaha mewujudkan kuarters buruh berpusat untuk pekerja asing supaya mereka tidak tinggal di unit rumah kos rendah.

Tahun lalu, pendahulu Sundarajoo, Jagdeep Singh Deo, turut menggesa Putrajaya memperkenalkan undang-undang yang melarang pemilik unit rumah kos sederhana rendah menyewakannya kepada warga asing.

Sementara itu, Sundarajoo juga menyeru pemohon perumahan kos rendah yang dipaksa pemaju untuk membayar kos tambahan bagi pakej perabot untuk membuat aduan kepadanya dan lembaga perumahan.

Katanya, beliau mendapat tahu di media sosial ada pemohon mendakwa mereka diberitahu pemaju bahawa unit berharga RM42,000 itu sebenarnya berharga sehingga RM200,000 dan diminta membayar lebih.

“Saya mahu menyenaraihitamkan pemaju ini supaya mereka tidak boleh menjalankan perniagaan mereka di negeri ini lagi,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.