
Bercakap kepada FMT, Presidennya NK Tong berkata ketika ini berlaku masalah penawaran tidak mencukupi di kawasan dianggap ‘hotspot’ seperti bandar dan pembangunan berorientasi transit (TOD).
“Sehingga kini, kita masih belum mempunyai satu badan khusus untuk memantau sebarang aktiviti melibatkan rumah mampu milik.
“Contohnya dalam memastikan isu padanan dari segi permintaan dan penawaran tidak lagi berlaku,” katanya yang mencadangkan badan pemantau khas diwujudkan.
Keperluan tidak sepadan antara isu sering diperdebatkan pelbagai pihak dalam isu perumahan terutama membabitkan rumah mampu milik, selain unit kediaman tidak terjual serta kemampuan rakyat membeli terutama dari golongan B40 dan M40.
Dalam meningkatkan kemampuan pembelian rumah, Tong turut menggesa institusi kewangan dan bank memainkan peranan dengan menawarkan kaedah faedah rendah khusus untuk segmen perumahan mampu milik.
Menurutnya, kesukaran untuk mendapatkan pinjaman pada kadar margin pembiayaan yang dikehendaki juga menyebabkan pembeli terpaksa melakukan pembatalan pembelian.
“Ada juga pembeli yang dianggap tidak layak untuk memiliki rumah mampu milik tertentu disebabkan pendapatan isi rumah mereka yang dianggap terlalu tinggi.
“Sepatutnya perbelanjaan isi rumah tinggi perlu juga mengambil kira tanggungan kerana baki perbelanjaan itulah merupakan pendapatan sebenarnya,” katanya menjelaskan pekerja ekonomi gig turut terkesan kerana tiada pendapatan tetap.
Tong berkata, usaha untuk memastikan pemilikan rumah mampu milik mencukupi juga harus membabitkan semua pihak, bukan hanya kerajaan.
Pada 11 Sept lalu, kerajaan mengumumkan peraturan mengehadkan pembelian hanya satu rumah mampu milik bagi setiap warganegara yang layak akan dikuatkuasa dalam usaha memastikan bekalan rumah mampu milik mencukupi.
Menurut laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi, pangkalan data perumahan akan dibangunkan bagi membolehkan saringan silang maklumat pemilikan dengan agensi berkaitan yang lebih tepat untuk menentukan kelayakan pemilikan.