Pengusaha restoran dibenar beli beras putih import pada harga borong

Pengusaha restoran dibenar beli beras putih import pada harga borong

Keputusan dibuat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dalam sesi libat urus bersama persatuan peniaga termasuk pengusaha restoran.

Pengusaha restoran dibenarkan membeli beras putih import pada harga borong menerusi lesen borong diberikan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
PETALING JAYA:
Pengusaha restoran akan diberikan lesen borong bagi membolehkan mereka membeli beras putih import pada harga borong RM3.20 sekilogram daripada Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Keputusan itu dibuat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu sebagai langkah jangka pendek mengatasi masalah kekurangan beras putih tempatan susulan pengguna kurang membeli beras putih import kerana harganya yang meningkat.

Setiausaha akhbar Mohamad, Adeysham Nor memaklumkan, persatuan pengusaha terbabit perlu mengemukakan permohonan kepada kementerian untuk mendapatkan lesen borong terbabit.

Katanya, harga beras putih import tidak begitu banyak perbezaan dengan harga beras putih tempatan sebelum ini, iaitu sekitar RM2.80 hingga RM3.20 per kilogram (kg).

Bagaimanapun katanya, pengusaha mula beralih kepada beras tempatan susulan pelarasan harga oleh Bernas kepada RM3,200 satu tan (RM3.20 sekilogram) hingga berlaku pemintaan mendadak terhadap beras terbabit.

“Pada 15 September lalu, KPKM mengadakan sesi libat urus bersama persatuan peniaga, termasuk pengusaha restoran, mamak, kedai tomyam dan lain-lain.

“Antara perkara yang dibincangkan ialah bagaimana mencari kaedah terbaik untuk membantu setiap ahli persatuan mendapatkan bekalan import pada harga borong.

“Pada sesi itu, KPKM membenarkan pemberian lesen borong kepada pengusaha terbabit. Kita sedang tunggu persatuan memohon lesen itu. Setakat ini, mereka belum memohon lagi,” katanya menurut Berita Harian.

Bernas sebelum mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import kepada RM3,200 per tan metrik berbanding harga sebelum ini RM2,350 per tan metrik.

Beras putih tempatan pula dijual pada harga kawalan RM2.60 per kg atau RM26 sekampit 10kg.

Selain itu, Adeysham berkata kementerian sudah diarahkan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mengkaji penggunaan beras putih import oleh pembekal tender kerajaan, seperti untuk kem tentera dan sekolah.

“Menteri juga telah mengarahkan pegawai mengkaji jumlah subsidi yang perlu dikeluarkan jika kerajaan ingin memberi subsidi beras putih import,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.