Musa Hassan tamatkan zaman duda, sah bergelar suami kepada Qistina

Musa Hassan tamatkan zaman duda, sah bergelar suami kepada Qistina

Majlis resepsi perkahwinan bekas ketua polis negara di sebuah hotel di Shah Alam, malam tadi, dikongsi seorang individu dipercayai adiknya, Mohammad Izzat Hassan menerusi Facebook.

Gambar majlis perkahwinan Musa Hassan dan Qistina Lim di sebuah hotel di Shah Alam yang dikongsi di Facebook. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas ketua polis negara Musa Hassan mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita bernama Qistina Lim selepas menduda sejak Mac lalu.

Majlis resepsi perkahwinan mereka diadakan di sebuah hotel di Shah Alam, malam tadi, dikongsi seorang individu dipercayai adiknya, Mohammad Izzat Hassan menerusi Facebook.

Dalam keterangan gambar yang dikongsi dalam hantaran di media sosial itu, Mohammad Izzat menzahirkan kesyukuran dan tahniah kepada abang sulungnya.

“Syukur Alhamdulillah dan tahniah, Tan Sri Musa Hassan dan Puan Sri Qistina Lim, anda (Musa) sentiasa menjadi idola, penasihat, pemimpin dan abang kepada saya.

“Selamat datang kak long Qistina dalam keluarga kami. Semoga mendapat mawaddah, rahmah dan kekal sehingga ke jannah,” katanya.

Selain itu, pendakwah selebriti, Tuan Asmawi Tuan Umar turut berkongsi detik bahagia itu menerusi FB Live berdurasi 2.18 saat.

“Majlis Perkahwinan Tan Sri Musa Hassan & Puan Sri Qistina Lim,” katanya.

Untuk rekod, perkahwinan kedua Musa bersama Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, berakhir apabila isterinya memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah pada 30 Mac lalu.

Permohonan cerai itu difailkan kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya sejak 10 tahun lalu.

Isteri pertama Musa, Juriah Ahmad meninggal dunia pada 2 Mei 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.