Kita ada kemampuan keluar lebih banyak beras, kata ahli ekonomi

Kita ada kemampuan keluar lebih banyak beras, kata ahli ekonomi

Memberi subsidi pada beras import dilihat hanya membazirkan wang kerana ada teknologi yang boleh menggandakan pengeluaran beras tempatan.

Ahli Ekonomi berkata pengeluaran beras secara berterusan berbanding tuaian dua kali setahun ketika ini boleh menamatkan penggantungan negara pada beras import.
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi berkata pemberian subsidi pada beras import hanya membazirkan wang kerana pengeluar beras negara boleh menggandakan pengeluaran mereka menerusi teknik pertanian baru.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata dakwaan berlakunya kekurangan beras tempatan terlalu digembar-gemburkan. Katanya kekurangan dalam pengeluaran beras tempatan boleh diatasi dalam tempoh enam bulan melalui penggunaan teknik pertanian baru itu.

Katanya, pertanian berterusan dapat memastikan pengeluaran beras yang mencukupi dalam hanya tiga hingga empat bulan. Bagaimanapun, pada masa ini, ladang-ladang padi negara hanya menuai padi dua kali setahun.

Barjoyai berkata keputusan kerajaan baru-baru ini untuk memberi subsidi kepada beras import hanya menangani gejala dan bukan masalah bekalan beras.

Kerajaan pada minggu lalu mengumumkan bungkusan 5kg beras import akan dijual pada harga RM14 kepada isi rumah berpendapatan rendah, sebagai sebahagian daripada skim penjualan beras Rahmah.

Barjoyai berkata kebimbangan tentang keselamatan makanan negara telah timbul sepuluh tahun lalu, tetapi kerajaan gagal menangani masalah tersebut.

Beliau berkata Indonesia mengambil teknik yang dibangunkan oleh Universiti Cornell yang berpotensi menghasilkan lebih daripada 15 tan beras setiap hektar, lebih daripada dua kali ganda hasil beras Malaysia pada masa ini iaitu lima hingga enam tan setiap hektar.

“Saya mencadangkan teknologi ini kepada kerajaan Kedah. Pada awalnya, mereka bersetuju, tetapi kemudian menteri pertanian ketika itu akhirnya menolak rancangan itu,” kata Barjoyai kepada FMT.

Namun, ia diterima di Kelantan untuk projek perintis yang menghasilkan kira-kira 12 tan beras setiap hektar.

“Kita mempunyai teknologi dan keupayaan. Namun kita puas dengan pengeluaran 62% secara tempatan dan mengimport 38% yang selebihnya. Inilah yang menyebabkan masalah sekarang,” kata Barjoyai.

Beliau berkata teknologi baru yang dibangunkan di Kedah boleh menghasilkan lebih daripada 10 tan setiap hektar dan kekurangan bekalan tempatan akan diselesaikan dalam masa setengah tahun dengan pendekatan ini.

“Selagi kita terus bertani, kita boleh menghasilkan beras yang mencukupi. Pada dasarnya, kita perlu mengubah persepsi rakyat bahawa kita kekurangan beras, walaupun ada krisis potensi secara global,” kata Barjoyai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.