Beratur sejak 6 pagi untuk beli beras RM1

Beratur sejak 6 pagi untuk beli beras RM1

Program anjuran NGO Misi Rakyat itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan yang terbeban dengan harga beras yang mahal.

Orang ramai beratur panjang untuk membeli beras import 5kg yang dijual pada harga RM1 di Padang Kampung Datuk Seri Kamaruddin di Lumut, Perak. (Gambar Bernama)
LUMUT:
Ribuan penduduk sanggup beratur panjang untuk membeli beras putih import yang dijual dengan harga RM1 sekampit seberat 5kg, yang diadakan di Padang Kampung Datuk Seri Kamaruddin.

Program Misi Jual Beras RM1 yang bermula 9.30 pagi itu, hanya mengambil masa kira-kira setengah jam sahaja untuk terjual sepenuhnya.

Suri rumah, Siti Nordiana Kassim, 25, dari Taman Samudera berkata beliau sanggup beratur seawal pukul 6 pagi untuk membeli beras itu yang dimaklumkan mengenai penjualannya oleh jiran.

“Ini memang peluang yang tidak pernah saya dapat. Saya bersama jiran datang ke sini awal pagi sebab tidak mahu terlepas untuk membelinya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Seorang warga emas, Halijah Kassim, 65, dari Kampung Datuk Seri Kamaruddin di sini juga tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan beras tersebut dan mula beratur di situ sejak 7 pagi tadi.

“Pada mulanya ingatkan program ini ‘scam’ sahaja sebab tak pernah mana-mana pihak jual beras hanya RM1. Namun, apabila ketua kampung menguar-uarkan dalam kumpulan WhatsApp, baru makcik percaya.

“Program ini patut diadakan lebih kerap kerana sekarang harga beras pun naik mendadak, jadi dapat jugalah mengurangkan perbelanjaan dapur,” katanya.

Suraya Ibrahim, 42, dari Ayer Tawar dekat sini berkata pembelian beras RM1 benar-benar memberi kelegaan kepada dirinya yang membelanjakan kira-kira RM50 untuk pembelian beras sahaja bagi keperluan keluarganya.

“Walaupun hanya dapat beli sekampit beras sahaja dapat juga meringankan beban perbelanjaan bulanan keluarga yang ditanggung sepenuhnya oleh suami,” kata ibu kepada dua orang anak itu.

Program anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Misi Rakyat menyediakan sebanyak 1,000 kampit beras 5kg dan turut menyumbangkan 120 kampit beras kepada golongan asnaf, warga emas dan ibu hamil yang terpilih di kawasan itu.

Sementara itu, pengasas Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi berkata program penjualan beras putih import jenama SITI itu pertama kali dilaksanakan pihaknya dan Program Misi Jual Beras RM1 itu akan diadakan di Kedah pada Selasa ini.

“Kami melaksanakan program sebegini kerana mahu membantu golongan kurang berkemampuan membeli beras memandangkan makanan ruji itu meningkat harga begitu mendadak ketika ini.

“Kami juga berharap program ini dapat dilaksanakan di seluruh negara sekiranya ada pihak yang sudi menyumbangkan bagi pembelian beras ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.