Tiada kes baharu penyakit Nipah dikesan dalam negara, kata Zaliha

Tiada kes baharu penyakit Nipah dikesan dalam negara, kata Zaliha

Menteri Kesihatan berkata Malaysia telah diisytiharkan bebas penyakit Nipah pada 2001 oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata kementerian akan sentiasa memantau kejadian penyakit Nipah di luar negara dan meningkatkan kesiapsiagaan dengan pelbagai agensi berkaitan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Tiada kes baharu penyakit Nipah dalam kalangan manusia di negara ini sejak kes terakhir penyakit itu dikesan di Malaysia pada 27 Mei 1999, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, selepas wabak Nipah di Malaysia pada 1998 hingga 1999, kementerian meneruskan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) bagi perkongsian maklumat survelan virus Nipah dalam kalangan haiwan liar dan haiwan domestik.

“Sehingga kini, tiada sampel haiwan yang ditemui positif virus Nipah. Malaysia telah diisytiharkan bebas penyakit Nipah pada 2001 oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi memaklumkan situasi terkini penyakit Nipah di Malaysia memandangkan terdapat pelbagai maklumat di media massa berhubung kejadian wabak penyakit Nipah di India pada ketika ini.

Zaliha berkata penyakit Nipah pertama kali dikesan dalam kalangan manusia di Malaysia antara September 1998 hingga Mei 1999 yang berlakunya wabak melibatkan 265 kes termasuk 105 kematian dan sejak itu survelan dan pemantauan dijalankan dalam kalangan manusia melalui pengesanan kes secara pasif.

Katanya, survelan bagi kes keradangan pada otak (encephalitis) juga telah dijalankan iaitu sampel diambil bagi ujian patogen yang menyebabkan encephalitis termasuk virus Nipah dan virus Japanese encephalitis.

Zaliha menjelaskan penyakit Nipah adalah penyakit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah yang disebarkan dari haiwan kepada manusia dan ia boleh mengakibatkan komplikasi encephalitis serta penyakit saluran pernafasan dengan kadar kematian 40% ke 70% dalam kalangan manusia yang dijangkiti.

Beliau berkata keluang daripada keluarga pteropodidae merupakan perumah semula jadi bagi virus Nipah dan sebaran virus itu kepada perumah intermediate iaitu khinzir adalah melalui sentuhan langsung atau melalui makanan yang tercemar dengan najis, air kencing dan air liur keluang.

“Jangkitan pada manusia pula berlaku akibat sentuhan langsung dengan khinzir yang dijangkiti atau darah, cecair atau rembesan khinzir tersebut.

“Ia juga boleh berlaku melalui pengambilan makanan seperti buah-buahan dan minuman seperti nira pokok seperti pokok kurma, pokok kelapa atau pokok nipah yang tercemar dengan air liur atau cecair badan kelawar yang dijangkiti,” katanya.

Sementara itu, Zaliha berkata pengembara yang pulang ke Malaysia dari negara yang berisiko tinggi jangkitan penyakit Nipah dinasihatkan untuk melakukan pemantauan kendiri tanda dan gejala jangkitan virus Nipah selama 14 hari.

Katanya, kementerian akan sentiasa memantau kejadian penyakit Nipah di luar negara dan akan meningkatkan kesiapsiagaan terhadap penyakit itu dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.