Satu lagi kumpulan pelajar desak UM hapus ‘dasar baki sifar’

Satu lagi kumpulan pelajar desak UM hapus ‘dasar baki sifar’

Kebanyakan pelajar tidak mempunyai kemampuan untuk membuat bayaran sekali gus pada awal semester, kata Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia.

Universiti Malaya sebelum ini berkata hanya 4% pelajar akan terjejas oleh dasar baharu yang menetapkan yuran perlu dibayar sepenuhnya sebelum pendaftaran.
PETALING JAYA:
Satu lagi kumpulan pelajar telah menentang dasar baki sifar (zero balance policy) Universiti Malaya, yang telah mencetuskan bantahan terhadap mewajibkan pelajar menjelaskan yuran mereka sepenuhnya sebelum mendaftar.

Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia memuji usaha Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya yang berunding untuk melanjutkan tempoh pendaftaran dan menggesa universiti memansuhkan peraturan baharu itu.

“Dasar ini tidak sepatutnya dilaksanakan oleh UM atau mana-mana universiti lain,” kata presiden kumpulan itu Wan Muhammad Arif Wan Bazli Fariz.
Menurutnya, kebanyakan pelajar tidak mempunyai kemampuan untuk membuat bayaran sekali gus pada awal setiap semester.

Dia menggesa UM segera membatalkan dasar itu yang dikatakan “jelas menganiaya pelajar”.

Awal hari ini, kesatuan pelajar dan Persatuan Pelajar Antarabangsa Universiti Malaya telah membantah dasar itu, dan berkata pelajar tidak diberi masa yang cukup untuk memohon tempoh penangguhan bagi membayar yuran mereka.

Pada 19 Sept, UM menjelaskan hanya kurang 4% pelajar berkemungkinan terkesan daripada polisi kutipan hutang pelajar, dan sesiapa yang memerlukan bantuan kewangan akan dibenarkan mendaftar selagi mereka membayar yuran sebelum minggu ketujuh semester pertama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.