Kerajaan kaji tambah subsidi jualan rahmah Belanjawan 2024, kata Steven

Kerajaan kaji tambah subsidi jualan rahmah Belanjawan 2024, kata Steven

Timbalan menteri kewangan II berkata subsidi bahan makanan tahun ini berjumlah RM66 bilion dengan kerajaan tambah RM150 juta bagi Program Jualan Rahmah.

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim, berkata beberapa kementerian sedang menganalisa Program Jualan Rahmah bagi lihat keperluan tambah peruntukan subsidi tahun depan. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Kementerian Kewangan (MoF) menerima 10,000 maklum balas daripada orang ramai melalui portal Cadangan Belanjawan 2024 dan ia di peringkat terakhir untuk dimasukkan dalam belanjawan yang dijadual dibentang pada 13 Okt.

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim, berkata manakala sesi libat urus dijalankan secara bersemuka pula mendapat penyertaan lebih 8,000 di seluruh negara melibatkan pelbagai pihak termasuk peringkat negeri, sektor, dan kementerian.

“Kami (MoF) telah selesai majlis libat urus di seluruh negara dan menerima pelbagai maklum balas termasuk di portal iaitu 10,000, semuanya akan dirumuskan dan dipertimbangkan untuk masuk dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan tidak sampai sebulan lagi.

“Semua maklum balas itu juga di tahap penilaian dan kami akan ambil balik (maklum balas) untuk analisa seterusnya buat rumusan dan sekarang ini ia peringkat terakhir persiapan belanjawan tersebut,” katanya kepada pemberita.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam ditemui di Program Jualan Rahmah Parlimen Bukit Mertajam, di pekarangan pusat khidmatnya.

Belanjawan 2024 dijangka terus memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat, bantuan diteruskan serta ditambah baik, begitu juga pembangunan prasarana negara.

Sementara itu, Steven berkata beberapa kementerian terlibat sedang memantau dan membuat analisis berhubung Program Jualan Rahmah yang telah dijalankan di seluruh negara bagi melihat keperluan menambah peruntukan subsidi pada tahun hadapan.

Katanya, sebarang keputusan berhubung peruntukan itu akan dibuat berdasarkan kesan dan impak kepada rakyat dan peruntukannya diumumkan pada Belanjawan 2024 nanti.

“Sepanjang tahun ini sebanyak RM66 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai subsidi termasuk minyak, telur, ayam, dan sebagainya malah bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup, kerajaan tambah lagi RM150 juta untuk Program Jualan Rahmah.

“Ia bagi membantu jualan harga barang-barang keperluan 10 hingga 30% lebih murah, kerajaan juga bagi RM8 bilion sumbangan tunai Rahmah, ini semua untuk kurangkan beban rakyat untuk jangka masa pendek kerana ekonomi global tidak begitu baik sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata, menerusi Program Jualan Rahmah hari ini, sebanyak 22 jenis barangan keperluan antaranya beras, gula, tepung, telur, dan minyak dijual bermula 8 pagi dan telah mendapat sambutan lebih 2,000 pengunjung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.