
Dalam sidang media bersama di sini, Presiden MIC, SA Vigneswaran, berkata kedua-dua parti memutuskan untuk bekerjasama bagi membantu BN “mengembalikan kecemerlangannya”.
Beliau berkata, mereka bersetuju sebuah sekretariat perlu dibentuk bagi memastikan akar umbi kedua-dua parti dapat bekerjasama.
“Namun, sebelum kami melancarkan sekretariat ini, kami mahu memberitahu orang ramai bahawa tiada perselisihan faham antara MIC dan Makkal Sakti,” katanya dalam sidang media bersama Presiden Makkal Sakti, RS Thanenthiran.
Vigneswaran berkata, parti India lain yang bersekutu dengan BN dalam kumpulan dikenali sebagai “Friends of BN” dialu-alukan menyertai sekretariat itu.
Thanenthiran berkata, sekretariat adalah cara terbaik memupuk semangat kerajaan perpaduan, yang dibentuk gabungan parti BN, Pakatan Harapan (PH) dan Malaysia Timur.
“Kita bercakap tentang kerajaan perpaduan setiap hari, tetapi untuk membuktikannya, kita perlu bermula dari diri sendiri, sebab itu kita setuju membentuk sekretariat ini untuk menyatukan parti kaum India.”
Beliau berkata, MIC dan Makkal Sakti akan bekerjasama dengan keutamaan untuk menangani masalah masyarakat India.
Makkal Sakti ialah cabang daripada Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), gabungan 30 pertubuhan Hindu untuk memelihara hak dan warisan masyarakat Hindu.
Hindraf menganjurkan perhimpunan besar-besaran pada 2007 sebagai protes terhadap perobohan beberapa kuil.
Thanenthiran, yang juga penyelaras Hindraf, menubuhkan Makkal Sakti sebagai parti politik pada 2009, menggunakan moto Hindraf sebagai nama parti. Parti itu dilancarkan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak pada 10 Okt tahun sama.