
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan, HSN akan tetap dilaksanakan di negeri pembangkang dan penyelarasan HSN dipengerusikan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) seperti diputuskan Jemaah Menteri sebelum ini.
Menurut KBS, tujuan penyelarasan oleh ICU JPM bertujuan bagi melancarkan pengurusan dan pentadbiran pelaksanaan melibatkan program dan aktiviti kerajaan persekutuan.
“Hari Sukan Negara merupakan agenda nasional bagi membudaya dan merakyatkan sukan tanpa mengira fahaman politik selaras aspirasi Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor mendakwa exco dari empat negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) dihalang menyertai program anjuran kerajaan persekutuan.
Katanya, larangan itu termasuk bagi exco sukan di negeri pembangkang yang tidak akan mempengerusikan HSN peringkat negeri seperti sebelum ini.
HSN dijadual berlangsung dari 13 hingga 15 Okt dengan sambutan peringkat kebangsaan bakal diadakan pada 14 Okt di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.