
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, beliau mendapati idea itu “menarik”, sambil menambah langkah berkenaan dapat membantu memperkemas dasar dan rancangan pembangunan.
“Memperkemas dasar antara Kuala Lumpur dan Selangor sudah pasti memberi manfaat kepada wilayah tengah,” katanya kepada FMT.
“Kita mampu mengeluarkan Rancangan Bandar Lembah Klang pertama dalam sejarah, yang mengintegrasikan pembangunan hijau, merangkumi bangunan industri, komersial, dan kediaman.”
Lim berkata, antara dasar yang boleh diperkemas antara Kuala Lumpur dan Selangor termasuk melibatkan zon tanah, tebatan banjir, serta pembangunan industri dan komersial.
Tambahnya, usaha memperkemas dasar perancangan bandar boleh menambah baik kebolehcapaian dan pengangkutan awam di “Greater Klang Valley”.
Namun, Lim berkata, perbincangan menyeluruh dengan pihak berkepentingan, termasuk keluarga diraja Selangor serta kerajaan persekutuan dan negeri, perlu dilaksanakan sebelum perancangan boleh berjalan.
Minggu lepas, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung menggesa Kuala Lumpur dikembalikan kepada Selangor untuk mewujudkan “metropolitan mega” baharu bagi memperkemas pembangunan bandar dan meningkatkan kualiti hidup di Lembah Klang.
Lee berkata di Dewan Rakyat, “penyatuan” Kuala Lumpur dan Selangor menjadikan pembangunan bandar lebih sistematik.
Kuala Lumpur yang sebelum ini sebahagian daripada Selangor dijadikan wilayah persekutuan pada 1974, meliputi keluasan lebih 200km persegi.
Bagaimanapun, bekas timbalan menteri wilayah persekutuan, J Loga Balan Mohan tidak bersetuju dengan cadangan ini, menyatakan Kuala Lumpur dijadikan ibu negara ketika itu disebabkan kedudukan strategiknya.
Loga Bala mengambil maklum Lembah Klang sedia ada menyediakan pertumbuhan kukuh sosioekonomi untuk Kuala Lumpur, Selangor, malah keseluruhan negara.
“Bukankah Lembah Klang sudah menjadi metropolitan lebih besar?” soalnya.