
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, bagaimanapun berpendapat tiada keperluan melaksanakannya buat masa ini dan perkara itu hanya sesuai sekiranya bekalan makanan itu di tahap meruncing.
“Kalau sampai ke peringkat meruncing, barangkali kita akan libatkan juga polis. Namun, ketika ini belum sampai meruncing.
“Tapi insya-Allah, apabila berlaku tuaian padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) yang sekarang ini lebih 20%, kita jangka bekalan beras tempatan akan berada dalam pasaran dengan sebaiknya,” katanya selepas lawatan kerja bagi pelan intervensi pengedaran beras putih tempatan (BPT) di sebuah kedai runcit di Jalan Kebun Seksyen 30.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Ali dilaporkan berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dapat menimbangkan penguat kuasa KPDN diberikan perluasan kuasa berhubung isu bekalan beras itu.
Dalam pada itu, Mohamad meminta orang awam tampil mengemukakan bukti beras tempatan disorok atau kampitnya ditukar kepada beras import untuk diambil tindakan.
“Setakat ini hanya cakap-cakap, tiada bukti mengatakan kononnya ada tukar kampit dan sebagainya. Kalau tuan-tuan ada bukti sila beritahu, setakat ini hanya khabar angin yang kita tidak temui sebarang bukti secara rasmi.”
Mengulas kekecohan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Bagan Datuk, Perak semalam, beliau berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan segera dengan pengilang dan pemborong untuk menambah stok BPT ke cawangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi mengelak kejadian sama berulang.
Katanya, kekecohan itu ekoran stok sampai di dua lokasi terbabit tidak mencukupi, menyebabkan beberapa pelanggan tidak berpuas hati kerana terpaksa menunggu lama.
Mohamad turut mengarahkan bekalan BPT dihantar ke semua pasar raya segera supaya orang ramai tidak hanya tertumpu kepada cawangan Fama dan LPP, selain menasihati orang ramai untuk membuat pembelian panik dan menyimpan stok bagi mengelakkan gangguan bekalan.