APMM lupus dadah RM27 juta

APMM lupus dadah RM27 juta

Dadah itu hasil rampasan dilakukan Zon Maritim Kedah dan Perlis, Zon Maritim Kuala Kedah, Zon Maritim Tanjung Sedili dan Zon Maritim Batu Pahat di Johor.

Pelupusan dadah jenis ganja, heroin, morfin, methamphetamine dan methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dilaksanakan selepas APMM menerima perintah mahkamah. (Gambar Bernama)
PORT DICKSON:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melupuskan pelbagai jenis dadah seberat 1,301kg bernilai lebih RM27 juta yang dirampas pada 2020 dan awal tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) APMM, Khairul Anwar Bachok, berkata dadah berkenaan hasil rampasan dilakukan Zon Maritim Kedah dan Perlis, Zon Maritim Kuala Kedah, Zon Maritim Tanjung Sedili dan Zon Maritim Batu Pahat di Johor.

“Pelupusan dadah jenis ganja, heroin, morfin, methamphetamine dan methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) itu dilaksanakan selepas Maritim Malaysia menerima perintah rasmi mahkamah untuk dilucut hak setelah kes berkenaan selesai dibicarakan.

“Proses pelupusan dadah ini dijalankan menggunakan kaedah pembakaran melalui inkubator. Ia merupakan cara selamat dan berkesan untuk memusnahkan dadah berkenaan tanpa mencemari alam sekitar,” katanya pada sidang media majlis pelupusan dadah di Syarikat Kualiti Alam.

Turut hadir, Pengarah Maritim Johor Nurul Hizam Zakaria dan Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Romli Mustafa.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi zon Kedah dan Perlis, tangkapan dibuat di sempadan perairan antara Kuala Perlis dan Satun, Thailand dengan dadah berkenaan dicampak ke laut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Katanya, dadah tersebut dibawa masuk dari negara jiran dan dipercayai untuk dipasarkan dalam negara termasuk di Pulau Langkawi dan Pulau Pinang.

Menurutnya di Johor pula, dadah berkenaan adalah dari negara jiran dan Malaysia adalah lokasi transit sebelum ia dipasarkan ke luar negara dengan dalangnya dipercayai turut melibatkan warga tempatan.

Dalam pada itu, Khairul Anwar berkata APMM akan meningkatkan lagi rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negara khususnya di lokasi titik panas yang disyaki menjadi lokasi kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah di laut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.