6 ditahan, ‘Geng Daus Salong’ curi motosikal tumpas

6 ditahan, ‘Geng Daus Salong’ curi motosikal tumpas

Geng itu aktif mencuri motosikal menggunakan pemutar skru sejak awal tahun ini dengan menjadikan kawasan letak motosikal di premis perniagaan sebagai sasaran.

Ketua Polis Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu (kanan) menunjukkan rangka motosikal yang ditemui hasil penahanan anggota ‘Geng Daus Salong’. (Gambar Polis)
PETALING JAYA:
“Geng Daus Salong” giat mencuri motosikal di Kuantan dan Pekan tumpas susulan penahanan enam lelaki tempatan.

Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata enam lelaki berusia 16 hingga 24 tahun itu ditahan pada 9 Sept lalu selepas menerima maklumat berhubung kes kecurian motosikal pada hari sama.

“Bertindak atas maklumat itu, seorang lelaki ditahan di belakang Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan dan merampas sebuah motosikal hilang di Jaya Gading,” katanya menurut Harian Metro di IPD Kuantan, Pahang.

“Hasil siasatan lanjut, lima lelaki ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Salong, Pekan. Ketika ditahan, polis turut merampas tiga motosikal, dua enjin motosikal dan satu rangka motosikal di rumah terbabit,” katanya sambil menambah tiga rangka motosikal ditemui dalam sungai Kampung Salong.

Beliau berkata, geng itu aktif mencuri motosikal menggunakan pemutar skru sejak awal tahun ini dengan menjadikan kawasan letak motosikal di premis perniagaan sebagai sasaran.

Katanya, setiap ahli mempunyai peranan masing-masing, iaitu mencuri, menjual, melupus, melerai dan menggunakan motosikal dicuri.

“Dengan penahanan geng ini, polis berjaya menyelesaikan sembilan kes curi motosikal di Kuantan dan Pekan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 411 dan 414 Kanun Keseksaan. Enam individu terbabit direman sehingga 26 Sept ini,” katanya sambil menambah tiga suspek terbabit mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.