Projek perintis di Perak jadi panduan sebelum komersial REE

Projek perintis di Perak jadi panduan sebelum komersial REE

Kerajaan mahu memastikan penerokaan REE tidak beri kesan kepada sumber air, alam sekitar.

Chang Lih Kang berkata kerajaan juga mahu membangunkan sendiri industri nadir bumi.
PUTRAJAYA:
Projek perintis perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Perak akan dijadikan panduan untuk menentukan tahap kesan pencemaran daripada penerokaan mineral itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata kerajaan mengambil langkah itu sebelum membenarkannya diusahakan secara komersial.

“Langkah ini bagi mengelakkan pencemaran air bawah tanah atau isu alam sekitar lain.

“Itu sebabnya kita melaksanakan projek perintis (REE) bukan terus mengkomersialkannya,” katanya kepada media mengulas langkah kerajaan untuk memastikan penerokaan REE bebas daripada pencemaran alam sekitar.

Chang turut menyokong pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi, sebaliknya dibangunkan sendiri bagi menjamin pulangan maksimum buat negara.

“Jika kita hanya eksport bahan mentah REE ia tidak akan membantu industri nadir bumi negara.

“Jadi larangan itu akan bantu kita membangunkan industri nadir bumi khususnya industri hiliran,” katanya.

Sebelum ini Anwar berkata kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, lantas menjamin pulangan maksimum buat negara.

Dasar Mineral Negara baharu juga dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawaban.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.