Pembangkang tak hantar surat mohon peruntukan, dedah TPM

Pembangkang tak hantar surat mohon peruntukan, dedah TPM

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusoff mendedahkan pembangkang tidak memohon peruntukan untuk Ahli Parlimen.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusoff berkata beliau tidak menerima surat permohonan peruntukan daripada pembangkang.
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mendedahkan sehingga kini Ahli Parlimen pembangkang tidak menghantar surat memohon peruntukan, di sebalik pelawaaan kerajaan.

“Dia orang tidak ada hantar surat permohonan sampai sekarang,” katanya kepada FMT.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas Ahli Parlimen pembangkang yang menuntut peruntukan wakil rakyat tetapi enggan berbincang dengan kerajaan bagi merealisasikan perkara itu.

Mengingatkan bahawa perbincangan sama pernah dilakukan ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, Anwar berkata kerajaan melantik Fadillah untuk perbincangan tersebut. Fadillah adalah pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dari Sarawak.

Sebelum ini, kerajaan menegaskan ia secara dasar bersedia memberikan peruntukan kepada pembangkang namun hanya membabitkan perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran.

Terdahulu, Anwar menegur dakwaan bahawa pembangkang tidak menerima sebarang peruntukan. Beliau mendedahkan Parlimen Ketereh menerima 61 projek persekutuan bernilai RM2.12 juta.

Parlimen Sik pula menerima 73 projek bernilai RM3.7 juta.

Wakil rakyat Ketereh adalah Khlir Mohd Nor manakala Ahmad Tarmizi Sulaiman mewakili Sik.

Anwar turut meminta pembangkang menyatakan isu dengan jelas bahawa persoalan mereka berkaitan peruntukan untuk Ahli Parlimen, dan bukan peruntukan untuk pembangunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.