
Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata syarat tambahan itu bukan untuk melarang rakyat memelihara anjing, tetapi mahu mereka lebih bertanggungjawab kerana populasi anjing antara isu besar di banyak kawasan.
“Kita lihat hampir semua kerajaan negeri bersetuju (wajib mandulkan) dan ada negeri yang melaksanakannya, yang mana kita rasa ia satu cadangan baik.
“Ini kita telah setuju dan kita akan minta disampaikan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pastikan langkah ini dapat dilaksanakan,” katanya menurut Sinar Harian selepas mesyuarat exco di Wisma Negeri, Seremban.
Beliau berkata, segelintir pemilik membuang anjing mereka yang kemudian menjadi anjing liar sehingga mengganggu keselesaan penduduk.
Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan pusat perlindungan anjing terbiar sebelum ini, tetapi tidak mampu mengatasi masalah anjing liar.
“Kalau nak pelihara anjing, peliharalah, tapi mandulkan supaya dapat kawal populasi kerana kadang-kadang anjing itu beranak sampai lapan ekor, tapi pemiliknya jaga dua ekor saja dan selebihnya dibuang yang akhirnya jadi anjing liar di kawasan tertentu.”