Konon dilantik kementerian, 2 kontraktor didakwa perdaya sekolah RM875,000

Konon dilantik kementerian, 2 kontraktor didakwa perdaya sekolah RM875,000

Mohd Syafeeq Mohd dan Cheah Seng Nam didakwa memperdaya Lembaga Pengelola SKJ(T) Ladang Semenyih pada 2020.

Hakim Mahkamah Sesyen KL Rozina Ayob membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 25 Okt untuk sebutan semula kes.

KUALA LUMPUR,: Dua kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan memperdaya lembaga pengelola sekolah dengan mengatakan bahawa mereka dilantik oleh kementerian bagi menjalankan kerja membaik pulih fasiliti sekolah bernilai RM875,000 tiga tahun lepas.

Mohd Syafeeq Mohd, 40, dan Cheah Seng Nam, 48, didakwa bersama-sama memperdaya Lembaga Pengelola SKJ(T) Ladang Semenyih untuk menyerahkan wang sebanyak RM875,000 kerana mempercayai mereka kontraktor dilantik oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan dan membaik pulih fasiliti.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di RHB Bank Taman Midah pada 27 Ogos 2020 hingga 8 Okt 2020.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Pengawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman memohon dua lelaki itu masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Mereka turut dikenakan syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan.

Peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya diikat jamin RM12,000 setiap seorang atas alasan mereka telah memberikan kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan.

“Mohd Syafeeq kini berniaga kedai minuman secara kecil-kecilan manakala Cheah merupakan bapa tunggal selepas isterinya baru sahaja meninggal dunia dan dia perlu menyara seorang anak berumur tujuh tahun.

“Saya tidak membantah syarat-syarat tambahan itu. Kedua-dua anak guam saya sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan sama. Oleh itu, pasport mereka telah diserahkan kepada mahkamah berkenaan,” kata peguam itu.

Hakim Rozina Ayob membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan.

Rozina turut menetapkan 25 Okt untuk sebutan semula kes.

Pada 13 Sept lepas, kedua-dua lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua tuduhan memperdaya lembaga pengelola sekolah dengan menjalankan kerja membaik pulih fasiliti bernilai lebih RM1.2 juta, tiga tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.