700 tan metrik beras tempatan diedar mulai Jumaat

700 tan metrik beras tempatan diedar mulai Jumaat

Program khas pengedaran beras putih tempatan terus kepada pengguna akhir itu akan dibuat di empat zon iaitu utara, tengah, selatan dan timur.

Program khas pengedaran dan penjualan beras putih tempatan akan dibuat melalui premis bawah Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.
KUALA LUMPUR:
Sejumlah 700 tan metrik beras putih tempatan akan mula diedar ke seluruh Semenanjung Jumaat ini, sebagai langkah awal intervensi dalam menangani permintaan bahan makanan ruji negara.

Program khas pengedaran dan penjualan beras putih tempatan terus kepada pengguna akhir itu, akan dibuat melalui premis bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di empat zon iaitu utara, tengah, selatan dan timur.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP, Amir Mat Amin, berkata beras putih tempatan itu, akan dibekalkan ke 40 premis bawah LPP iaitu 23 Peladang Outlet (PO), lapan Agro Bazar Pertubuhan Peladang dan sembilan Kedai Peladang.

Beliau berkata, program intervensi itu yang dilancar hari ini, dilaksanakan dengan kerjasama dua syarikat iaitu Jasmine Food Corporation Sdn Bhd dan Serba Wangi Sdn Bhd.

“Jumlah pengedaran bawah LPP untuk tempoh sehingga hujung tahun ini ialah 300 tan metrik, (manakala) Fama (peroleh) 400 tan metrik, menjadikan jumlah keseluruhan 700 tan metrik,” katanya kepada Bernama.

Amir berkata, LPP komited mengedarkan beras kampit tempatan dengan harga kawalan RM26 untuk 10kg setiap pek, sebagai usaha membantu menangani isu kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran pada masa ini.

“Kami mengehadkan untuk seorang pengguna dua beg sahaja iaitu 20kg, kerana kita memikirkan satu keluarga itu, jika besar maksimum pun (guna) 20kg (dan) jika keluarga kecil tiga hingga empat orang 10kg memadai untuk beras tempatan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Azman Mahmood, berkata kekurangan beras tempatan di negara, disebabkan kenaikan harga beras import yang mengakibatkan permintaan terhadap beras tempatan melonjak.

Beliau berkata, selain itu pembelian dalam kuantiti yang banyak oleh golongan peniaga, turut menyumbang kepada situasi kekurangan beras putih tempatan pada masa ini.

“Pihak kami telah berjumpa dengan persatuan peniaga termasuk restoran dan menawarkan mereka membeli beras putih import dengan harga borong…jadi mereka tidak perlu pakai beras tempatan, tidak perlu bersaing dengan kedai runcit,” katanya ketika dihubungi.

Azman beranggapan masalah kekurangan beras putih tempatan itu hanya bersifat sementara, kerana musim menuai kini rancak di Kedah dan akan berterusan di Kelantan dan Terengganu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, hari ini, dilapor sebagai berkata bekalan beras putih tempatan di pasaran dijangka kembali stabil dalam masa sebulan, susulan pelbagai langkah intervensi dan pemantauan berterusan dilakukan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.