Tuntutan palsu RM22,000, pembantu tadbir sekolah direman

Tuntutan palsu RM22,000, pembantu tadbir sekolah direman

Lelaki berusia 40-an ditahan petang semalam kerana disyaki membuat tuntutan palsu berkaitan pembekalan barang keperluan pejabat.

Suspek direman enam hari hingga 24 Sept dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
PETALING JAYA:
Ketua pembantu tadbir sebuah sekolah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pembekalan barang keperluan pejabat berjumlah RM22,000.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Negeri Sembilan kira-kira 4 petang susulan tuntutan palsu dibuat pada Disember 2022 serta Januari lalu.

Sumber berkata, suspek dipercayai bertindak sebagai dalang dan bersubahat dengan isterinya dan seorang pemilik syarikat, yang mana pembekalan kepada kedua-dua syarikat tidak dilaksanakan sedangkan bayaran penuh dibuat.

“Pemilik syarikat serta isteri suspek yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah sekolah lain tidak ditahan,” katanya menurut Berita Harian.

Susulan penahanan itu, Majistret Syed Farid Syed Ali membenarkan suspek direman enam hari hingga 24 Sept ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, yang mengesahkan penahanan itu memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.