Tak perlu bincang Triti Laut Sulawesi dalam Dewan Rakyat, Ahli Parlimen diberitahu

Tak perlu bincang Triti Laut Sulawesi dalam Dewan Rakyat, Ahli Parlimen diberitahu

Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin berkata, bukan amalan Parlimen Malaysia untuk menyemak tindakan kerajaan berhubung ratifikasi perjanjian.

Mohamad Alamin berkata, perbincangan berhubung Triti Laut Sulawesi tidak akan diadakan secara terbuka kerana ia turut melibatkan negara asing. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin menolak gesaan agar Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia dibincangkan di Parlimen.

Alamin berkata, bukan amalan Parlimen Malaysia untuk menyemak tindakan kerajaan berhubung ratifikasi perjanjian.

“Ada beberapa dokumen yang kita mungkin bincang, tetapi bukan dalam forum terbuka,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Seperti yang dah saya sebut, jika kami diminta rujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (Parlimen) mengenai Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa, InsyaAllah, kementerian akan beri penjelasan lebih terperinci (kepada jawatankuasa).”

Alamin berkata, perbincangan sedemikian tidak akan diadakan secara terbuka untuk menjaga sensitiviti berhubung perkara itu, memandangkan perjanjian ini melibatkan negara asing.

Beliau menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Perikatan Nasional-Machang), yang mencadangkan agar Parlimen membincangkan perkara itu berikutan kenyataan Indonesia bahawa ia akan meratifikasi perjanjian itu di Parlimennya.

“Saya mohon pertimbangan drpd YB (Alamin) untuk guna pakai amalan terdahulu di mana kita meratifikasi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA),” kata Wan Ahmad Fayhsal.

“Jika Indonesia lalui proses sama, kenapa tidak kita? Saya yakin Ahli Parlimen Sabah akan sokong saya dalam perkara ini.”

Alamin sebelum ini berkata, dokumen perjanjian itu tidak akan didedahkan kepada umum sehingga Malaysia dan Indonesia menyelesaikan proses ratifikasi mengikut undang-undang domestik.

“Saya nak jelaskan, disebabkan proses ratifikasi berbeza di kedua-dua negara, dokumen-dokumen ini belum boleh didedahkan kepada umum,” katanya di Parlimen minggu lepas.

Terdahulu, Perjanjian Laut Sulawesi mencetuskan pelbagai respons dengan segelintir pihak menegaskan bahawa Malaysia melepaskan haknya ke atas blok Ambalat yang kaya dengan minyak.

Tuntutan wilayah bertindih antara Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi atau Ambalat, yang terletak di antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah, telah berlangsung sejak Malaysia menerbitkan peta rasmi wilayahnya pada 1979.

Blok Ambalat, seluas 15,000 km persegi, dikatakan memiliki rizab minyak mentah terbesar dunia dan telah lama dipertahankan oleh Malaysia.

Wisma Putra telah mengeluarkan penjelasan pada 20 Jun bahawa perjanjian itu tidak melibatkan sempadan maritim dalam zon ekonomi eksklusif dan pelantar benua antara kedua-dua negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.