Suhaizan Kayat angkat sumpah Ahli Parlimen Pulai

Suhaizan Kayat angkat sumpah Ahli Parlimen Pulai

Johari Abdul berharap Suhaizan menjalankan tanggungjawab termasuk menunjukkan tingkah laku terpuji semasa mengetengahkan isu rakyat.

Suhaizan Kayat menang PRK Pulai dengan majoriti 18,641 undi pada PRK awal bulan ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kayat mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat hari ini.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul sebelum bermulanya sesi penggulungan kementerian bagi Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12).

Suhaizan mempertahankan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRK Pulai dengan majoriti 18,641 undi.

Bekas Speaker DUN Johor itu meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dengan 29,642 undi, manakala Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas pula meraih 528.

Sementara itu, Johari dalam ucapannya berharap Suhaizan akan menjalankan tugas dengan tanggungjawab termasuk menunjukkan tingkah laku terpuji semasa mengetengahkan isu rakyat dan negara.

“Adalah penting demi menjaga nama Dewan Rakyat yang mulia agar ia sentiasa terpelihara.

“Ahli-ahli yang berhormat hendaklah menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan Dewan yang mulia ini sebagai medan politik kumpulan mahupun individu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.