
Adam Ariff Mohd Roslan, 29, berkata berdasarkan analisisnya, bekas perdana menteri itu menerima RM60,629,839.43 daripada Putera Faisal Alsaud pada 23 Feb 23 2011 dan 13 Jun tahun sama.
Saksi pendakwaan ke-47 itu berkata demikian ketika mengesahkan laporan jejak wang dalam perbicaraan Najib membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Beliau berkata, nombor akaun bank pelanggan yang membuat pesanan (Putera Faisal) sama dengan nombor akaun bank Riyad yang dihantar dana oleh syarikat Good Star Ltd sebelum itu.
Good Star ialah syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
“Akaun bank Riyad memindahkan dana ke akaun Najib dalam tempoh satu hingga tiga hari perniagaan, selepas Good Star Ltd menghantar dana ke akaun bank Riyad itu.”
Katanya, berdasarkan jarak masa serta nilai dana dihantar dan dipindah itu, munasabah untuk mempercayai akaun bank Riyad digunakan sebagai pengantara bagi memindahkan wang daripada Good Star ke akaun Najib.
Terdahulu, Adam Ariff berkata, dalam tempoh tiga tahun, dari 2009 hingga 2011, Good Star menerima lebih USD810 juta daripada 1MDB.
“Pemeriksaan terhadap penyata bank Good Star bagi akaun bernombor 11116073, termasuk akaun semasa USD bernombor 11116073.2000 dan akaun semasa CHF (Swiss franc) bernombor 11116073.2007, mengesahkan penerimaan dana daripada 1MDB dan Pengarah Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid.”
Beliau berkata, 1MDB memindahkan USD700,000,000 dan USD110,000,000 ke akaun RBS Coutts milik Good Star.
“Sebelum menerima USD700 juta daripada 1MDB, baki dalam akaun Good Star kosong.”
Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.