
Pada 3 Ogos lepas, si cilik ini diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) kerana atas pencapaiannya “mengenal pasti paling banyak bendera antarabangsa oleh seorang anak usia tatih.”
Ketika ditemui FMT Lifestyle, kanak-kanak comel yang bakal menyambut hari lahirnya yang ketiga pada November menunjukkan kemampuannya dengan mudah mengenali bendera negara-negara yang mungkin tidak pernah didengari ramai rakyat Malaysia seperti Vanuatu, Eritrea dan Saint Vincent and the Grenadines. Aavyn juga tiada masalah mengenal pasti setiap bendera negeri Malaysia.
Ibunya Erica Ng, 33, berkata beliau pertama kali menyedari bakat unik anaknya itu pada Mac lepas apabila melihat Aavyn, yang juga mempunyai kembar perempuan bernama Aaryn, dapat membezakan antara bendera Malaysia dengan India.

“Saya memperkenalkan dua atau tiga bendera sehari dan dia langsung tiada masalah menghafalnya,” katanya, sambil menambah Aavyn mengenali kira-kira 50 bendera menjelang Jun, menyebabkannya menghubungi MBR.
Erica kemudian dimaklumkan, untuk mencapai rekod, Aavyn perlu mengenal pasti sekurang-kurangnya 40 bendera dalam tempoh seminit menyebabkan beliau terus membuat persediaan bersama anaknya itu.
Aavyn berkebolehan berbahasa Inggeris, Melayu, Kantonis, Mandarin dan sedikit Hokkien. Kanak-kanak itu bagaimanapun belum dapat membaca, dan Erica berpendapat dia mempunyai kaedah tersendiri untuk mengenali bendera berkenaan.
“Contohnya, bendera Brunei ada dua ‘tangan’ di situ jadi saya menyamakan dengan permainan ‘cak’,” katanya sambil menutup mukanya menggunakan kedua-dua tangan sebelum mengagah sambil berkata “cak’’.

Penilaian MBR dilakukan pada 3 Ogos lepas di pejabatnya di KL Sentral. Tiga minggu sebelum itu, Erica menyediakan Aavyn secara mental dengan memberitahunya apa yang perlu dilakukan, selain menjanjikan hadiah besar jika berjaya.
Erica mengakui lebih gementar berbanding anaknya ketika itu, malah apabila ditanya perasaannya Aavyn berkata: “Tidak takut”.
Menurut Erica, ketika sesi penilaian itu, Aavyn pada mulanya tidak dapat mencapai sasaran mungkin disebabkan persekitaran yang berbeza.
Bagaimanapun, cubaan kali ketiga membuahkan hasil diingini dan Aavyn gembira menerima sijil daripada MBR menandakan pencapaiannya.
Erica berkata beliau akan memperkenalkan lebih banyak bendera kepada Aavyn, tetapi belum merancang menghantarnya untuk penilaian rekod dunia.

“Saya bangga dengan kedua-dua anak. Harapan saya hanyalah untuk kedua-duanya membesar sihat dan gembira.
“Bagi masa depan, kita lihat sajalah nanti apa yang diminati mereka dan saya pasti akan menyokong mereka,” katanya.
Ikuti perjalanan hidup Aavyn dan Aaryn Eliseus Ng di Instagram.