Batalkan ‘dasar baki sifar’, wakil pelajar beritahu pentadbir UM

Batalkan ‘dasar baki sifar’, wakil pelajar beritahu pentadbir UM

Dasar itu mewajibkan pelajar membayar yuran penuh antara RM1,000 hingga RM2,000.

Pentadbiran Universiti Malaya pernah memperkenalkan dasar sama tahun lalu namun melonggarkannya susulan bantahan pelajar.
PETALING JAYA:
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) meminta pentadbiran universiti membatalkan pelaksanaan dasar baki sifar (zero balance policy) yang mewajibkan pelajar membayar yuran penuh antara RM1,000 hingga RM2,000.

Pertubuhan itu menyifatkan dasar berkenaan menindas hak pelajar dan harus dihapuskan serta merta kerana akan menyebabkan golongan tidak berkemampuan terlepas mengikuti sesi pembelajaran pada semester akan datang.

“Perubahan dasar tanpa sebarang notis memberi kesan kepada pelajar, terutamanya mereka yang datang dari latar belakang berpendapatan rendah dan tidak mempunyai kestabilan dalam sumber kewangan.

“Mustahil bagi pelajar untuk mengumpul jumlah wang yang besar dalam jangka masa singkat,” katanya dalam kenyataan.

Pertubuhan dianggotai 68 persatuan pelajar di universiti itu turut melancarkan bantahan secara dalam talian sejak Jumaat lalu dan mendapat lebih 4,000 sokongan setakat ini.

KMUM berkata pentadbiran universiti pernah memperkenalkan dasar yang sama tahun lalu tanpa sebarang notis awal, namun akhirnya bersetuju untuk melonggarkan berikutan bantahan daripada pelajar.

“Kesilapan yang sama diulang tanpa memaklumkan terlebih dahulu menunjukkan hakikatnya pentadbiran berkenaan tidak menghormati autonomi pelajar.

FMT telah menghubungi pentadbir universiti itu untuk mendapat maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.