
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata pihaknya akan mengumumkan mekanisme berkaitan pelancaran program itu nanti.
“Sebenarnya berkenaan kawal selia padi dan beras kita semua tahu ia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) tiada kuasa mengawal pun, harga pun tak.
“Tetapi hari-hari kita dengar rintihan rakyat, maka KPDN cuba cari jalan bagaimana dalam ruang lingkup bidang kuasa kita boleh menyelesaikan isu kenaikan harga beras import dan tiada beras tempatan seperti didakwa,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2023-2025.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan harga beras tempatan tidak akan mengalami kenaikan meskipun harga beras import dari India meningkat sebanyak 40%.
Media sebelum ini melaporkan, harga beras dunia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 15 tahun selepas pengeksport utama, India menyekat penghantaran beras putih bukan basmati hujung Julai lalu.
Susulan situasi itu, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dalam kenyataan memberitahu, harga beras putih import meningkat 36% iaitu sebanyak RM850 satu tan metrik atau 85 sen sekilogram.