Kementah, MoF akan runding pembaikan aliran tunai Boustead

Kementah, MoF akan runding pembaikan aliran tunai Boustead

Menteri Mohamad Hasan berkata penjualan separa saham Boustead Holdings dalam BPlant perlu dilakukan agar masalah penyelesaian hutang dilaksanakan sebelum tahun kewangan berakhir.

Mohamad Hasan berkata rundingan itu bagi mencari cara terbaik untuk memastikan aliran tunai Boustead Holdings Berhad dapat diperbaiki. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertahanan akan berunding dengan Kementerian Kewangan bagi mencari jalan untuk memperbaiki aliran tunai Boustead Holdings Berhad (BHB), susulan persoalan sekitar penjualan separa sahamnya dalam Boustead Plantations Bhd (BPlant) kepada syarikat swasta.

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata rundingan itu bagi mencari cara terbaik untuk memastikan aliran tunai BHB dapat diperbaiki dan boleh membayar dividen yang baik kepada pemiliknya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Kita lakukan ini untuk kebaikan LTAT. Apabila ini dilakukan nanti BHB akan dapat memulangkan sejumlah besar pelaburan yang dibuat dalam BHB kepada LTAT, dan LTAT akan dapat jumlah kecairan tunai mereka lebih daripada 60%.

“Ini merupakan satu kepastian kepada tabung-tabung persaraan. Ia mesti ada kecairan tunai yang lebih,” katanya kepada Dewan Rakyat.

Menjelaskan penjualan separa saham BHB dalam BPlant, Mohamad berkata ia perlu dilaksanakan segera agar masalah aliran tunai dan penyelesaian hutang BHB dilaksanakan sebelum tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun ini.

“Ini mustahak bagi mengelakkan daripada BHB menjadi muflis sekiranya hutang tidak dilangsaikan pada masa yang ditetapkan,” tambahnya.

Mohamad memberitahu Dewan Rakyat bahawa LTAT akan berdepan masalah sekiranya BHB jatuh muflis.

“Kerana LTAT telah meletakkan lebih 50% pelaburan di BHB. Ini bukan merupakan suatu perkara yang baik kerana LTAT merupakan dana persaraan, bukan syarikat strategik untuk memegang aset.

“Dana persaraan mesti ada aset kecairan, tetapi aset kecairan LTAT sekarang ini tidak sampai 20%. Kalau ada apa-apa berlaku menjadi masalah.”

Mengulas lanjut tentang rundingan dengan MoF, Mohamad berkata ia juga untuk pastikan LTAT tidak lagi meletakkan sebahagian besar sampai hampir 56% pelaburan dalam satu bidang, seperti di BHB.

Menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) kenapa saham BHB tidak dijual kepada “syarikat Melayu yang mampu”, Mohamad menjelaskan bahawa pembidaan dibuka selama beberapa bulan dan 15 undangan dibuat kepada pihak-pihak yang berlatarbelakangkan perladangan.

Antara yang diundang Sime Darby, Tabung Haji, Tradewinds, dan FGV.

“Malangnya ada banyak yang tak mahu mengambil bahagian…Tradewinds ambil bahagian tapi cadangannya amat rendah. Pihak BHB sebagai syarikat akan menilai pembida yang tinggi kerana ia memerlukan RM800 juta tahun berakhir ini, dan memerlukan RM1.7 bilion untuk ‘redeem’ membayar ‘Islamic medium term note’.

Mohamad turut mengingatkan pengkritik bahawa ia belum sampai ke tahap kelulusan pihak menteri.

“Kementah akan berunding dengan MoF cara terbaik untuk kita mengurus fasa ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.