Dapatkan laporan EIA terkini, pemimpin komuniti gesa pemaju Melaka Gateway

Dapatkan laporan EIA terkini, pemimpin komuniti gesa pemaju Melaka Gateway

Michael Singho berkata, saranan laporan daripada 1997 itu juga turut tidak diendahkan pemaju.

Presiden MPEA Michael Singho berkata, pemaju membina terlalu hampir dengan penempatan Portugis berdekatan dengan Pulau Melaka. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin komuniti di Melaka menggesa KAJ Development, pemaju projek Melaka Gateway, agar memohon semula penilaian impak alam sekitar (EIA) berhubung projek itu.

“Pemaju menggunakan laporan EIA daripada 1997, (walaupun) Melaka Gateway bukanlah pemegang konsesi pada masa itu,” kata Presiden Persatuan Portugis-Eurasian Melaka (MPEA) Michael Singho.

Beliau berkata, laporan EIA yang dikemas kini akan mengenal pasti impak projek itu ke atas pesisir pantai di mana ramai nelayan komuniti terbabit mencari rezeki.

“Selat pemisah antara Pulau Melaka, Melaka Gateway dan jalan utama tersumbat dengan lumpur dan pencemaran. Mekanisme membersihkan kawasan ini belum diteliti,” kata Singho.

Tambahnya, nelayan tidak lagi boleh mengutip kerang di kawasan itu disebabkan kedalaman lumpur.

Menurut Singho, tebus guna tanah yang dilakukan sebagai sebahagian daripada rancangan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (MWEZ) malah mematuhi laporan EIA daripada 1997 itu, yang menetapkan jarak pengasingan minimum antara projek itu dan penempatan Portugis.

“Jelas dinyatakan dalam laporan itu bahawa pulau-pulau (tebus guna) mestilah terletak sekurang-kurangnya 750m dari penempatan Portugis. Pulau-pulau itu kini terletak pada jarak 150m.

“Mereka perlu mengambil langkah untuk membetulkan keadaan ini kerana telah terbukti projek itu menjejaskan pantai, alam sekitar dan hasil tangkapan (ikan) kami,” kata Singho.

Pakar sains dan alam sekitar marin Dionysius Sharma berkata, laporan EIA makro akan membantu menentukan kesan projek terhadap ekosistem dan kemungkinan penyelesaiannya.

“Kami sangat menggesa pemaju mendapatkan dokumentasi yang diperlukan sebelum meneruskan pembinaan Terminal Pelayaran Antarabangsa Melaka,” kata Sharma.

Pada April, satu memorandum telah diserahkan oleh Save Our Seashores Melaka kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, yang menggariskan pelbagai kebimbangan dan cadangan.

Cadangan itu termasuk moratorium ke atas semua laporan EIA sehingga audit alam sekitar lulus, serta penguatkuasaan dan pemantauan lebih ketat terhadap semua projek tebus guna tanah di sepanjang pesisiran pantai Melaka.

Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata, pindaan kepada rancangan itu akan dibuat mengikut memorandum, namun beliau tidak menjelaskan cadangan mana yang akan diikuti.

“Kami tidak menentang sebarang pembangunan tetapi jika ia lambat-laun akan menyebabkan kami kehilangan warisan kami (Portugis Melaka), saya rasa kami harus memperjuangkannya mengikut saluran undang-undang,” kata Singho.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.