
Adam Ariff Roslan berkata, ia berdasarkan analisisnya terhadap dokumen bank.
Beliau berkata, “Putera Faisal” memegang akaun di Riyad Bank, menerima USD12.5 juta (RM58.6 juta) pada 18 Feb 2011 dan USD12 juta pada 10 Jun tahun sama daripada Low’s Good Star Limited.
Adam menyatakan kira-kira seminggu kemudian, pada 23 Feb 2011, sejumlah USD10 juta daripada akaun itu dipindahkan ke akaun semasa AmBank Najib yang berakhir dengan digit 694.
Pada 13 Jun, USD10 juta lagi dimasukkan ke dalam akaun Najib.
Dalam kenyataan pembukaan, pihak pendakwaan berkata bahawa “Putera Faisal” adalah sekutu rapat Najib, Low, dan seorang lagi dikenali sebagai “Putera Turki”.
Adam juga berkata, pada 2009 1MDB mendepositkan USD700 juta ke dalam Good Star dan menghantar USD300 juta lagi kepada akaun bersama 1MDB dan PetroSaudi.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.