
Kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh selepas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh juvana itu didakwa mendatangkan kecederaan terhadap mangsa berusia 15 tahun di dalam asrama, pada 11.25 malam, 3 Julai lalu.
Kejadian berlaku apabila mereka menemui vape pada mangsa sebelum memukulnya menggunakan penyangkut baju dan batang penyapu sehingga cedera di beberapa anggota badan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Arif Marzuki mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM2,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, mereka yang ditemani ahli keluarga kemudian merayu jaminan dikurangkan kerana bukan dalam kalangan keluarga berada.
Mahkamah kemudian mengarahkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM1,000 setiap seorang dan hanya membenarkan penjamin terdiri ibu bapa atau penjaga masing-masing.
Mahkamah turut menetapkan 24 Okt ini untuk sebutan semula kes serta serahan laporan akhlak.